Gadis kemalangan selepas diragut atas motosikal - Utusan Malaysia

Gadis kemalangan selepas diragut atas motosikal

Gadis diragut
TANGKAP layar rakaman video daripada kamera papan pemuka sebuah kereta yang menunjukkan kejadian ragut dialami mangsa dekat Jalan Persiaran Raja Muda Musa di Klang, Selangor, pada Isnin lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Perjalanan seorang gadis menuju ke tempat kerja bertukar tragedi apabila diragut penjenayah sehingga cedera akibat terjatuh daripada motosikalnya di Jalan Persiaran Raja Muda Musa di sini, Isnin lalu.

Kejadian tular pukul 8.50 pagi itu menyebabkan mangsa berusia 20 tahun cedera di tangan dan kaki selain beg silangnya dilarikan suspek.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, siasatan awal pihaknya mendapati mangsa  menunggang Yamaha LC secara bersendirian di jalan berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Raja Zarina itu.

Menurutnya, gadis itu kemudian dihampiri sebuah motosikal Yamaha Y15 berwarna gelap ditunggang seorang lelaki yang menarik beg silang dipakainya. 

“Tindakan itu menyebabkan mangsa hilang kawalan lalu terjatuh atas jalan dan cedera di kedua-dua tapak tangan, lutut dan bahu kiri.

“Selain itu, mangsa kerugian RM3,000 selepas kehilangan beg itu yang berisi telefon bimbit Iphone 14, dokumen peribadi dan wang tunai RM114,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Tambah Hoong Fong, pihaknya mempergiatkan usaha memburu suspek dan membuat tangkapan dalam tempoh terdekat.

“Kita sedang mengenalpasti identiti lelaki berkenaan dan telah membuka kertas siasatan. Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan sengaja mendatangkan cedera ketika melakukan rompakan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan semua pihak menghentikan penyebaran video tular kejadian berkenaan bagi mengelak kegusaran masyarakat.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN