KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) melaporkan, dua rakyat Malaysia menjadi mangsa terbaharu pemerdagangan manusia melalui sindiket penipuan kerja di Myanmar.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, dua rakyat Malaysia terbabit telah pergi ke negara berkenaan untuk mencari peluang pekerjaan.
Menurut Hishamuddin, difahamkan terdapat `kawan’ iaitu scammer yang cuba menghubungi keluarga mangsa dan meminta sejumlah bayaran kononnya untuk menyelamatkan mangsa.
“Kawan itu telah meminta wang sebanyak RM60,000 kononnya untuk menyelamatkan dua mangsa itu dengan membayar RM10,000 sebagai pendahuluan.
“Teknik sindiket penipuan kerja ini merupakan teknik terbaharu untuk mendapatkan wang tebusan daripada keluarga mangsa,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, MHO akan cuba mengesan dan membawa pulang mangsa-mangsa terbabit kepada pangkuan keluarga mereka.
“MHO akan cuba untuk mencari solusi dan melakukan misi menyelamat untuk membawa mangsa – mangsa ini pulang ke tanah air,” katanya.
Hishamuddin turut menasihatkan keluarga yang mengalami masalah sama untuk menghubungi MHO terlebih dahulu dan tidak melakukan apa- apa bayaran. – UTUSAN










