PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak mengetahui beliau memiliki aset bernilai berbilion ringgit seperti yang dituduh mempunyai harta dengan nilai tersebut.
Justeru itu, beliau mengambil langkah menyaman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menunjukkan bukti tentang dakwaan tersebut,
“Saman dibuat lebih satu tahun dahulu. Hingga sekarang Anwar tidak dapat tunjuk bukti saya memiliki berbilion ringgit.
“Ini bermakna hingga sekarang saya belum didapati bersalah. Jika SPRM ada bukti tunjuklah,” tulis beliau dalam satu kenyataan yang disiar dalam Facebook semalam.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir mempersoalkan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain kerana mengatakan bekas Perdana Menteri tersebut tidak dilayan sebagai penjenayah.
Sebaliknya beliau telah menerima notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seolah-seolah menyatakannya melakukan kesalahan.
“Tetapi notis kepada anak saya, Mirzan menyebut bahawa SPRM mendapati ‘bahawa satu kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta ini berkaitan nombor aduan IPJ/RPTNO/0477/2023 telah dilakukan oleh Mahathir bin Mohamad.
“Setakat saya tahu saya tidak pernah disiasat. Tetapi notis SPRM menyatakan saya melaku kesalahan,” katanya.
Berkenaan akuan bersumpah (SD) bekas Penolong Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid terhadap Anwar, Dr. Mahathir berkata, walaupun Anwar tidak didapati bersalah, kenapa akuan itu tidak ditarik balik.
“Apakah isteri dan anak-anak Anwar diarah menjelaskan semua harta mereka.
“Demikian juga dengan kes Tan Sri Azam Baki (Ketua Pesuruhjaya SPRM). Kenapa adiknya tidak disiasat rapi seperti yang berlaku terhadap anak saya,” soal Dr. Mahathir. – UTUSAN










