Cuaca panas: Tangguh aktiviti murid di luar kelas

Cuaca panas: Tangguh aktiviti murid di luar kelas

BEBERAPA murid menutup kepala menggunakan beg dan payung berikutan cuaca panas ketika pulang dari Sekolah Kebangsaan Padang Mengkuang, Marang, Terengganu. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Semua aktiviti di luar kelas termasuk merentas desa perlu ditangguhkan berikutan musim cuaca panas dan kering yang melanda Terengganu ketika ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Jelani Sulong berkata, semua sekolah perlu mematuhi arahan tersebut bagi mengelak sebarang risiko kesihatan terhadap pelajar dan murid.

Menurutnya, tiada sebarang aktiviti luar bilik darjah apabila suhu mencapai 35 darjah Celcius tiga hari berturut-turut sebagaimana garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

“JPNT sentiasa memberi perhatian serius terhadap isu kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid-murid khususnya dalam cuaca panas yang melanda negara.

“Saya sentiasa mengingatkan Pegawai Pendidikan Daerah agar semua sekolah mematuhi garis panduan tersebut agar dapat mengambil tindakan dan langkah-langkah sewajarnya,” katanya ketika dihu­bungi Utusan Malaysia semalam.

Semalam, seorang warganet mempersoalkan kewajaran sebu­ah sekolah menengah di daerah Marang yang mahu mengadakan aktiviti merentas desa walaupun sedia maklum cuaca panas dan ke­ring yang masih melanda ketika ini.

Cadangan tersebut mendapat bantahan ibu bapa yang risaukan kesihatan anak-anak mereka terutama strok haba yang pernah menyebabkan kematian sebelum ini.

Mengulas lanjut, Jelani berkata, semua pengurusan sekolah perlu menitikberatkan aspek kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid sepanjang musim panas melanda.

“Ambil langkah yang perlu untuk mengurangkan komplikasi akibat cuaca panas semasa melaksanakan aktiviti luar bilik darjah.

“Tangguhkan semua aktiviti luar bilik darjah termasuk merentas desa buat masa ini demi kebaikan semua pihak terutama pelajar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×