Cuaca panas: Kebakaran di Kelantan meningkat

Cuaca panas: Kebakaran di Kelantan meningkat

ZAINAL Madasin (dua kiri) melihat Hilmi Abdullah menyampaikan sumbangan kepada pegawai bomba semasa sempena pelancaran Ops Siaga Raya 2024 di Mydin Mall Tunjong, Kota Bharu, Kelantan semalam. -UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mendedahkan kebakaran di negeri me­ningkat sebanyak 50 peratus sepanjang musim panas apabila merekodkan 577 kes sehingga 25 Mac tahun ini berbanding tahun lalu dengan 227 kes dalam tempoh yang sama.

Pengarahnya, Zainal Madasin berkata, daripada jumlah tersebut kebakaran terbuka menyumbang kepada bila­ngan tertinggi apabila 339 kes dilaporkan semasa fenomena El Nino melanda negeri ini.

“JBPM Kelantan telah memulakan gerakan kempen keselamatan dan pencegahan kebakaran termasuk mengadakan rondaan di 39 kawasan panas (hot spot) melibatkan lapan daerah disamping penguatkuasaan undang-undang.

“Daerah yang terlibat ialah Bachok, Pasir Mas, Pasir Puteh, Kota Bharu, Gua Musang dan Tumpat,” katanya pada sidang akhbar sempena Ops Siaga Raya 2024 di Mydin Mall Tunjong di sini semalam yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa, Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah.

Zainal memberitahu, pe­ralihan monsun menyebabkan perubahan angin dan kebakaran lebih kerap berlaku sehingga memerlukan pihak bomba untuk terus mengadakan pemantauan berkala.

Menurutnya, bagi memastikan kebakaran dapat dikawal, JBPM Kelantan turut bergantung kepada sumber air terbuka dengan menggunakan telaga tiub, kolam dan sumber air sungai.

“Kita juga bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar dalam menangani situasi kebakaran di kawasan terbuka.

“Kerjasama itu diharap dapat mengurangkan kebakaran. Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka bagi mengelakkan api mudah me­rebak,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×