Calon PRK KKB diminta patuhi peraturan hari penamaan calon

Calon PRK KKB diminta patuhi peraturan hari penamaan calon

IKMALRUDIN ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminta bakal calon dan parti politik yang terlibat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan dikeluarkan pihak berkuasa, Sabtu ini.

Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, ia bagi memastikan Hari Penamaan Calon (HPC) berjalan dengan baik dan lancar.

“Pada HPC, kertas penamaan calon hendaklah diserahkan dari pukul 9 pagi sehingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus di Pusat Penamaan Calon (PPC) di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor. 

“Serahan perlu dibuat  oleh calon, pencadang dan penyokong atau mana-mana dua orang daripada mereka; atau mana-mana seorang daripada mereka,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, SPR menyarankan. bakal calon yang ingin bertanding mengisi borang dan membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Selangor sebelum HPC.

Ikmalrudin berkata, ia bagi melancarkan proses penamaan calon.

“Selain itu, bakal-bakal calon disarankan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran tersebut hendaklah dibawa pada HPC sebagai bukti pembayaran.

“Bagi bakal-bakal calon yang mewakili mana-mana parti politik pula hendaklah mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti yang diwakili apabila membuat penyerahan Kertas Penamaan Calon,” katanya.

Pada masa sama, beliau menambah, setiap bakal calon yang hadir ke PPC hanya dibenarkan diiringi oleh seorang pencadang calon dan seorang penyokong calon untuk memasuki PPC. 

“Penggunaan semua jenis alat muzik ataupun pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa-apa cara termasuk menerusi penggunaan apa jua jenis kenderaan adalah tidak   dibenarkan pada HPC dan merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5].

“Orang awam serta penyokong-penyokong yang mengiringi calon adalah dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan PPC yang  ditetapkan.

“Calon-calon yang telah membayar deposit bahan kempen pilihan raya sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta 5, adalah juga tertakluk kepada undang-undang kecil mana-mana pihak berkuasa tempatan bagi tujuan mempamer dan mengedarkan bahan kempen pilihan raya yang mengandungi gambar calon, lambang / simbol parti dan gambar pemimpin parti gabungan / komponen secara bersama atau berasingan yang diwakilinya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN