Buang beras tindakan tidak bertanggungjawab

Buang beras tindakan tidak bertanggungjawab

SEBAHAGIAN beras yang dibuang di kawasan pembuangan sampah dekat Rumpun Makmur, Kuala Krau di Temerloh, Pahang baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Tindakan membuang beras, tin sardin dan tepung dianggap tidak bertanggungjawab dalam keadaan rakyat ketika ini sukar memperoleh makanan ruji itu di pasaran.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM), Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, ia tidak sepatutnya berlaku dan barangan makanan yang dibuang terbabit sewajarnya diserahkan kepada golongan yang lebih memerlukannya.

“Tindakan itu adalah satu perbuatan khianat kepada pengguna memandangkan situasi beras tempatan semakin kurang di pasaran dan harga beras semakin mahal,” katanya semalam.

Sehubungan itu, beliau berharap tindakan tegas diambil ke atas pihak yang melakukan pembuangan beras dan barangan makanan tersebut di tempat pembuangan sampah berhampiran laluan pintasan Rumpun Makmur-Kampung Gunung Senyum, Kuala Krau, dekat sini.

Mohd. Fidaus berkata, sekiranya bahan itu makanan sudah luput, ia boleh diberikan kepada penternak haiwan dan bukan dilupuskan dengan cara sedemikian.

“Tindakan membuang barangan sedemikian di tempat terbuka dibimbangi akan memberi kesan kepada masyarakat. Jika ada individu yang terdesak mengambil beras makanan lain yang dibuang itu atau mereka yang mengambil untuk dijual ditempat lain pun, ia mendatangkan kesan lebih mudarat,” katanya.

Beliau turut mendesak pihak berkuasa menyiasat sama ada individu yang menyimpan barangan makanan terbabit mempunyai permit simpanan barangan atau sebaliknya.

“Sepatutnya untuk menyimpan beras dan barangan lain dalam tempoh yang lama, perlu memiliki permit tertentu. Jadi harus siasat mengapa barangan itu disimpan terlalu dan sama ada memiliki permit,” ujarnya.

Sejak kelmarin tular satu hantaran di Facebook berkaitan pembuangan beras dan barangan makanan seperti tepung di tempat pembuangan sampah dekat Rumpun Makmur.

Kejadian terbabit mengejutkan penduduk setempat dan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-ratanya melahirkan rasa kesal.

Ada antara netizen yang turut mengaitkannya dengan isu kekurangan beras tempatan selain kemungkinan beras untuk bantuan yang disimpan terlalu lama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN