Boikot KK Mart: Noh kagumi keberanian Dr. Akmal - Utusan Malaysia

Boikot KK Mart: Noh kagumi keberanian Dr. Akmal

NOH Omar menyerahkan sumbangan Aidilfitri kepada penerima pada program Sumbangan Aidilfitri Bersama Anak-Anak Yatim Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang itu dekat Tanjong Karang, di Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar mengagumi keberanian Dr. Muhamad Akmal Saleh mengenai gesaan memboikot rangkaian kedai serbaneka KK Super Mart yang terpalit isu penjualan stoking tertera kalimah Allah.

Jelas bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu, beliau terkejut mengetahui berkaitan penahanan Ketua Pemuda UMNO berkenaan semalam.

“Kenapa emergency (kecemasan) sangat tahan dia. Saya tidak mempersoalkan tugas polis namun rakyat akan menilai di mana keadilan kepada rakyat.

“Justeru, saya secara peribadi menyokong dan kagum dengan Akmal sebagai pemimpin muda yang berprinsip seperti saya. Jika bab islam, kita kena tegas dan ketepikan soal parti apatah lagi perjuangan itu berkaitan kalimah Allah,” katanya ketika ditemui selepas program Sumbangan Aidilfitri Bersama Anak-Anak Yatim Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang, hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan penahanan Dr. Muhamad Akmal bagi membantu siasatan di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Exco Melaka itu ditahan sepasukan polis sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa, Kota Kinabalu, Sabah susulan dua laporan polis terhadapnya berhubung isu stoking tertera kalimah Allah.

Selepas lebih tiga jam ditahan, Dr. Muhamad Akmal dibebaskan pukul 2 petang dan bertekad untuk terus berjuang mengenai kebenaran demi agama dan ummah.

Tambah Noh yang juga pengamal undang-undang, beliau tidak melihat boikot itu sebagai satu kesalahan jenayah.

“Namun, apa yang boleh sekiranya KK Mart saman dia (Akmal) secara peribadi. Jika hanya boikot, ia perkara biasa dan berkali-kali berlaku. Kalau hanya sekadar mengeluarkan kenyataan memboikot, apa salahnya? Kecuali kalau orang masuk KK Mart itu kena pukul,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Srikandi Bersatu, Nurul Syazwani Noh berkata, pihaknya turut menyatakan sokongan dan solidariti merentasi parti bersama Akmal.

“Sebagai pemimpin daripada golongan muda, saya bersetuju dengan ketegasan beliau memperjuangkan isu ABATA (agama, bangsa dan tanah air).

“Saya mengecam sekerasnya apa jua tindakan yang menyentuh sensitiviti itu dan  bertekad memikul tanggungjawab mempertahankan ideologi nenek moyang kita sejak dahulu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×