PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor membentuk jawatankuasa khas bagi menarik sokongan para pengundi India dan Orang Asli dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu pada bulan depan.
Pengerusi Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, 12 portfolio dibentuk termasuk membabitkan aspek kerahan anak muda dan pengundi bukan Melayu untuk memperkemaskan jentera pilihan raya tersebut.
Katanya, semua bahagian Bersatu dan ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah dipertanggungjawabkan untuk menjaga 16 Pusat Daerah Mengundi (PDM) dalam kawasan tersebut.
“BPN juga membincangkan strategi yang pintar dan berinovasi untuk melonjakkan sokongan pengundi kepada Perikatan Nasional.
“Bahan cetakan termasuk risalah sudah disediakan untuk mengupas isu-isu ekonomi dan kos sara hidup rakyat. Logistik dan bahan kempen seperti bendera dan banners akan tiba di lapangan dalam minggu ini,” katanya dalam Facebook beliau hari ini selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas BPN bersama ADUN Bersatu Negeri Selangor.
Perbincangan itu terkait dengan persiapan jentera PRK DUN Kuala Kubu Baharu di samping pembentangan perincian data dan statistik bagi setiap 16 PDM dan juga prestasi undi awal.
PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac 2024.
Beliau adalah wakil rakyat DUN Kuala Kubu Baharu sejak 2013 dan ini adalah penggal ketiganya selepas mengekalkan kerusi itu pada pilihan raya negeri Selangor 2023. – UTUSAN










