PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengesahkan beras-beras yang dibuang di suatu lokasi di Temerloh, Pahang didapati rosak dan tidak sesuai serta tidak selamat untuk dimakan.
KPKM dalam kenyataan memaklumkan, perkara itu hasil penemuan awal daripada siasatan Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Cawangan Temerloh yang turun ke lapangan.
Jelasnya, turut bersama hadir ke lokasi adalah pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) di tempat pembuangan sampah berhampiran Jalan Pintasan Rumpun Makmur-Gunung Senyum, Kuala Krau, Temerloh.
“KPKM menasihatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai isu ini memandangkan perkara ini masih dalam siasatan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras, 1994 [Akta 522].
“Untuk makluman semua pihak, sebarang aktiviti pelupusan beras hendaklah merujuk kepada KPB, KPKM,” katanya hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial gambar puluhan kampit beras bersama dengan tin sardin dan tepung dibuang di kawasan pembuangan sampah tersebut.
Ketika isu beras sukar didapati di pasaran dan kos sara hidup yang meningkat, kejadian pembuangan bahan makanan itu mencetuskan kemarahan di kalangan pengguna media sosial.
Lebih menghairankan, ada yang mendakwa kejadian itu bukan pertama kali berlaku.
Dalam hal ini, KPKM mahu orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat lanjut atau aduan berhubung isu ini melalui Portal Aduan KPB: https://skpb.kpkm.gov.my/adu ; e-mel Rasmi : [email protected] dan Hotline Ibu Pejabat KPB Putrajaya: 03-88701751/1748/1183. – UTUSAN










