Bekas pengurus terlepas hukuman mati, diganti penjara 30 tahun

Bekas pengurus terlepas hukuman mati, diganti penjara 30 tahun

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Bekas pengurus syarikat pembinaan  bernasib baik apabila terlepas hukuman mati setelah Mahkamah Rayuan hari ini, menggantikannya dengan hukuman penjara 30 tahun kerana membunuh kekasih warganegara Indonesia dengan 28 tikaman, enam tahun lalu. 

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail memutuskan demikian terhadap Sobri Abdul Wahab, 46, selepas membenarkan rayuannya terhadap hukuman.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin bagaimanapun menolak rayuannya terhadap sabitan selepas berpuas hati Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf mensabitkannya terhadap pertuduhan membunuh.

Ketika membaca keputusan itu, Hakim Hadhariah berkata, mahkamah mendapati ketidakwarasan perayu ketika kejadian tidak dapat dibuktikan. 

Panel itu mengetepikan hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor pada 31 Disember 2021 lalu dan menggantikannya dengan penjara 30 tahun dan 12 sebatan.  Hukuman berkuat kuasa daripada tarikh tangkap pada 10 Mac 2018. 

Mengikut pertuduhan, Sobri didakwa membunuh  Gusnima, 38, di sebuah pangsapuri di Seksyen U8, Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor, antara jam 6 petang hingga 8 malam, 10 Mac 2018. 

Hakim (Mahkamah Tinggi ketika itu), Datuk Abd. Halim Aman dalam penghakimannya berkata, penyakit Skizofrenia tidak mengganggu dan bukan penyebab kepada perlakuan tertuduh sewaktu kejadian. 

Katanya, perbuatan membunuh dilakukan oleh tertuduh dalam keadaan sedar.  Sebelum ini, media melaporkan, Gusnima yang juga pembantu kantin sekolah ditemui mati dibunuh dengan 28 tikaman di sebuah pangsapuri di Bukit Jelutong, 10 Mac 2018 selepas terlalu mendesak kekasihnya berkahwin.

Dalam kejadian jam 8.25 malam itu, mangsa yang berasal dari Medan, Indonesia mempunyai kesan tikaman iaitu 14 di leher, lima di belakang badan, empat di perut, tiga di rusuk kiri dan dua lagi di tengkuk. 

Semasa hujahan, peguam K. A Ramu yang mewakili perayu berkata, anak guamnya mempunyai penyakit mental sejak 2012 lalu. Menurutnya, ketika kejadian anak guamnya tidak mengambil ubat dan berada dalam keadaan tidak waras. 

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee membantah bahawa perayu berkenaan waras ketika menikam mangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN