PETALING JAYA: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki mendera bayi kandungnya berusia enam bulan sehingga maut dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Bandar Tasik Kesuma, Beranang, kelmarin.
Kejadian malang itu terbongkar selepas bedah siasat ke atas mayat bayi terbabit mendapati terdapat kesan kecederaan pada kepalanya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintenden Muhamad Nasir Drahman berkata, pada awalnya polis menerima laporan daripada bapa mangsa berusia 25 tahun pada 8.52 pagi.
“Lelaki itu mendakwa bayinya tidak sedarkan diri di rumah di sebuah pangsapuri di Bandar Tasik Kesuma.
“Hasil pemeriksaan awal, tiada kecederaan pada badan mangsa dan mayat bayi itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Kajang untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil bedah siasat dijalankan mendapati terdapat kesan kecederaan pada mayat yang bukan disebabkan oleh kemalangan tetapi perbuatan jenayah.
Berikutan itu, kata beliau, polis menahan bapa mangsa di pekarangan Unit Forensik hospital berkenaan pada pukul 11.30 malam hari sama.
“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu.
“Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 22 April ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintenden S. Vekram di talian 019-4737108 atau mana-mana balai polis berhampiran. – UTUSAN








