Anwar, Azizah luang masa bertemu keluarga Nadir

Anwar, Azizah luang masa bertemu keluarga Nadir

ANWAR Ibrahim dan Wan Azizah Wan Ismail meluangkan masa bertemu Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzzaman sekeluarga.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail meluangkan masa bertemu dengan aktivis kemanusian, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzzaman bersama keluarganya di Kompleks Seri Perdana di Putrajaya hari ini.

Berkongsi pertemuan itu, Anwar berkata, beliau bersyukur dan gembira melihat isterinya wanita Palestin dan anak-anak Muhammad Nadir dalam keadaan baik selepas melalui penderitaan panjang di Semenanjung Gaza.

“Kami berbicara panjang terkait penderitaan rakyat Palestin, pendirian Malaysia serta pengalaman anggota keluarganya keluar dari zon konflik sebelum pulang ke Malaysia.

“Saudara Nadir turut berkongsi kisah yang begitu mengesankan, di mana anak-anaknya teruja melihat telur dan tembikai ketika mula sampai ke Malaysia kerana sudah berbulan lamanya tidak dapat menikmati makanan asas itu akibat situasi perang yang terus memburuk di sana,” kata Anwar dalam kenyataannya hari ini.

Perdana Menteri turut mendoakan Muhammad Nadir dan keluarganya dapat meneruskan kehidupan dengan tenang.

“Insya-Allah, saya akan terus membantu sedaya upaya dalam memudahkan urusan menyalurkan bantuan kemanusiaan dari Malaysia kepada rakyat Palestin,” katanya.

Muhammad Nadir yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM) berkongsi kegembiraan apabila isteri dan anak-anaknya berjaya dibawa keluar dari wilayah bergolak di Gaza dengan bantuan kerajaan Malaysia dengan ‘watak utama’ misi disifatkannya gila itu adalah Perdana Menteri sendiri.

Selepas 183 hari terpisah akibat perang Israel-Palestin, Muhammad Nadir akhirnya dapat bertentang mata serta memeluk anak-anaknya dan momen itu disifatkan sebagai satu mimpi.

“Saya langsung tawakal dan dan serahkan segalanya kepada Allah. Sehari sebelum Aidilfitri, saya dihubungi Setiausaha Politik Perdana Menteri, Farhan Fauzi, watak penting yang mengusahakan misi ini.

“Sejak awal peperangan beliaulah yang kerap menjemput kami ke pejabatnya di Putrajaya dan selalu menghubungi kami bertanyakan keadaan keluarga dan perkembangan di Gaza,” jelasnya.

Namun, katanya, nada Farhan kali ini agak berbeza dan serius, malah mengarahkan hanya beliau dan seorang lagi individu lain sahaja datang ke satu lokasi khas.

“Allahuakbar. Ada apa pula ini? Saat sampai ada kenderaan hitam menanti. Risau juga macam dalam movie (filem).

“Alangkah terkejutnya saya saat pintu dibuka, saya diterpa anakanda yang selalu hadir dalam mimpi sekian malam. Air mata seorang ayah sudah bertakung tak mampu menahan kerinduan,” katanya.

Beliau menyifatkan proses itu adalah cepat, teratur dan lancar walaupun penuh dengan 1,001 cabaran tersirat dengan kisahnya akan keluar satu demi satu tetapi tidak semua berhak untuk dikongsikannya.

“Tetapi watak utama dalam ‘Misi Gila’ ini adalah Perdana Menteri kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri!,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×