Akmal Saleh ditahan di IPD Kota Kinabalu

Akmal Saleh ditahan di IPD Kota Kinabalu

MUHAMMAD AKMAL SALEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh ditahan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Sabah pagi ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu memberitahu perkara tersebut melalui kenyataan ringkasnya di Facebooknya hari ini.

“Saya telah ditahan di IPD kota kinabalu pagi ini walaupun telah dijadualkan untuk memberi keterangan esok di IPD Dang Wangi.

“Insya-Allah saya akan berikan kerjasama sepenuhnya. Doakan semuanya dipermudahkan. (Saya) tidak akan berganjak walau seinci dengan pendirian kita,” katanya.

Semalam, aktivis politik dari Sarawak dan Sabah dilaporkan menggesa Muhamad Akmal dan empat individu lain dihalang daripada memasuki kedua-dua ne­geri tersebut.

Empat yang lain itu ialah pendakwah Mohd. Ridhuan Tee Abdullah, Zamri Vinoth Kalimuthu, Shakir Nasoha dan Firdaus Wong.

Peter John Jaban dari Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak mendakwa kelima-lima individu itu adalah dalang kepada peningkatan ketegangan kaum dan agama serta perselisihan sosial negara.

Pada 14 Mac lalu, Muhamad Akmal memuat naik gambarnya yang menghunus sebilah pedang, sehari selepas kedai rangkaian serbaneka, KK Mart didapati menjual stoking yang tertera kalimah Allah.

“Walau apapun yang menimpa, kami tidak akan berganjak dengan pendirian kami. Biar mati berdiri daripada hidup melutut,” katanya sambil melampirkan gambarnya menghunus pedang samurai yang diambil semasa lawatan ke Jepun baru-baru ini.

Susulan kekecohan itu, KK Mart memohon maaf kepada semua pelanggannya khususnya masyarakat Islam dan mengesahkan tindakan segera telah diambil untuk menghentikan penjualan stokin berkenaan.

Akmal bagaimanapun terus mendesak supaya rangkaian kedai serbaneka itu diboikot.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sebelum ini menzahirkan perasaan dukacita dan murka berhubung penjualan stoking berkenaan.

Seri Paduka yang berkenan menghadap Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn. Bhd., Datuk Seri Dr. Chai Kee Kan di Istana Negara kelmarin, turut mengingatkan semua pihak supaya tidak mengambil kesempatan daripada isu itu.

Seri Paduka meminta semua pihak mesti lebih bertanggungjawab dan berharap ia kali terakhir berlaku.

Muhamad Akmal kemudian dipetik portal berita ketika ditanya sama ada beliau akan mematuhi titah Seri Paduka untuk menghentikan isu stoking kalimah Allah, katanya: “Agong ada larang untuk tidak boikotkah?”

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil kemudian mengingatkan Muhamad Akmal supaya tidak menyalah tafsir dan mengambil kesempatan terhadap titah Seri Paduka berhubung isu tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN