Akmal beri keterangan kes hasutan, tiada sekatan masuk Sabah

Akmal beri keterangan kes hasutan, tiada sekatan masuk Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Tiada larangan diberikan terhadap Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh untuk masuk ke Sabah.

Akmal berkata, beliau masuk ke Sabah seperti biasa dan tiada sekatan dikenakan terhadapnya.

“Kami okay je, masuk macam biasa je. Saya kat sini dah..kalau tak, saya duduk kat airport lagi,” katanya ketika ditanya sekiranya ada sekatan atau larangan dikenakan terhadapnya untuk masuk ke Sabah.

Beliau berkata demikian selepas selesai memberi keterangan kira-kira dua jam di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, hari ini.

Kata beliau, dia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) kira-kira pukul 10.15 pagi tadi dan terus ditahan untuk memberi keterangan berhubung satu laporan polis yang dibuat di Kuala Lumpur.

“Ada satu laporan terhadap saya atas Akta Hasutan mengenai video ceramah saya di Kelantan dan saya meneliti video itu namun, saya rasa tiada satu pun ungkapan yang dikeluarkan untuk menghasut.

“Jadi, saya serahkan segala-galanya kepada siasatan polis dan kita sedia lawan di mahkamah sebab saya tak pernah takut. Saya percaya kita bawa suara kebenaran dan kita tak melakukan apa-apa kesalahan sekali pun,” katanya.

Memandangkan laporan itu dibuat di Kuala Lumpur dan itu yang membuatkan beliau tertanya-tanya kenapa perlu keterangannya diambil di Sabah.

“Saya tertanya-tanya kenapa perlu tergesa-gesa, apa yang mendesak sangat, bukan saya tak balik, saya balik dan kita dah bagi komitmen (hadir ke IPD Dang Wangi). Saya hairan kenapa mereka tidak dapat tunggu saya balik ke Semenanjung sebab sudah deal (janji),” katanya.

Walau bagaimanapun, sekiranya diminta untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, beliau akan hadir untuk memberi kerjasama penuh kepada pihak polis untuk siasatan.

Menurut Akmal, setakat ini tiada langsung laporan dibuat di Sabah, semuanya berlaku di Semenanjung dan beliau datang ke Sabah atas program Pemuda UMNO dalam keadaan yang tenang dan tidak mengganggu sesiapa.

Jelas beliau, beliau akan teruskan dengan tujuan asal ke Sabah iaitu menghadiri Program Kembara Ramadan Pemuda UMNO di Beaufort. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×