SHAH ALAM: Sebanyak 4,575 premis di seluruh negara digempur Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) siri ke-25 Operasi (Ops) Gempur bermula 1 Januari lalu.
Selain itu, turut dijalankan adalah Ops Gempur Raya bermula pada 17 Mac lalu melibatkan 203 premis yang diperiksa melibatkan sejumlah RM78,000 kompaun keseluruhan dikenakan kepada pemilik premis atau perusahaan.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, bagi kedua-dua operasi tersebut terdapat 662 dan 97 tindakan dikenakan meliputi kompaun, notis arahan, penahanan operasi dan penyediaan kertas siasatan.
“Dalam Ops Gempur Raya, 39 premis dikenakan kompaun, 50 pula diberikan notis arahan dan lain-lain diambil tindakan penahanan operasi serta penyediaan kertas siasatan.
“Pelaksanaanya memberi fokus kepada premis bermasalah dari sektor-sektor industri yang berisiko tinggi mencemarkan alam sekitar seperti pembuatan produk logam, kertas, galian bukan logam, makanan, kimia, berasaskan getah dan plastik serta produk berasaskan petroleum,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Tambahnya, tumpuan turut diberikan kepada premis-premis yang terletak di hulu takat pengambilan air. Tindakan diambil adalah di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 25, boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.
“Mengikut Seksyen 348 iaitu berkaitan pengurusan buangan terjadual, jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara mandatori serta denda maksimum sebanyak RM500,000,” jelasnya.
Dalam pada itu, Nik Nazmi memaklumkan pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dijangka akan diwartakan pada tahun ini selepas Dewan Rakyat meluluskannya baru-baru ini.
“Kita baru sahaja pinda fasa pertama iaitu kita naikkan penaltinya seperti RM10 juta denda dan penjara mandatori, banyak lagi penalti yang kita naikkan. Hari ini disebut dalam Dewan Negara dan dijangka akan diwartakan pada tahun ini.
“Selepas itu, kita akan tengok pula pindaan fasa kedua untuk tengok secara substantif mungkin keperluan hari ini ada beberapa perkara yang kita perlu tambah baik. Yang itu dalam peringkat kajian,” ujarnya. – UTUSANAkta Kualiti Alam Sekeliling 1974










