KUALA TERENGGANU: Lebih 3,000 peminat motosikal berkuasa tinggi dari dalam dan luar negara bakal memeriahkan Terengganu Bike Week (TBW) 2024 di Dataran Shahbandar, di sini pada 28 sehingga 30 Jun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, ini termasuk peserta daripada Thailand, Brunei, Singapura dan Indonesia.
Menurut beliau, TBW 2024 merupakan program anjuran East Coast Motorcycle (ECMC) dengan kerjasama kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu.
Razali menjelaskan, penganjurannya dijangka dapat memberi limpahan ekonomi kepada penggiat pelancongan dengan sasaran pendapatan RM4.5 sehingga RM6 juta.
“Sejak dianjurkan 10 tahun lalu, jumlah peserta sentiasa memberi sambutan hangat termasuk dari luar negara selain pembabitan Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi dari seluruh Malaysia.
“TBW 2024 akan memanfaatkan pengusaha penginapan dan makanan selain membantu mencapai misi menarik kedatangan 3.5 juta pelancong ke Terengganu,” katanya pada sidang akhbar di sebuah hotel di sini, hari ini.
Razali turut menjelaskan, peserta TBW akan berkonvoi di laluan utama beberapa lokasi pelancongan menarik antaranya Pasar Kedai Payang, Taman Tamadun Islam, Muzium Negeri dan Jambatan Angkat.
Selain itu, pelbagai program sampingan juga disediakan seperti reruai jualan, pameran, program sembang santai serta cabutan bertuah yang menawarkan tiga buah motosikal berjenama.
“Banyak lagi produk pelancongan yang terdapat di Terengganu dan penganjuran TBW ialah salah satu aktiviti dalam kalendar acara pada tahun ini untuk merancakkan sektor pelancongan.
“Apa yang penting kita menasihatkan peserta sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan arahan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya,” ujarnya. – UTUSAN










