1,200 penduduk di Jerantut beraya tanpa air

1,200 penduduk di Jerantut beraya tanpa air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Kira-kira 1,200 penduduk Felda Padang Piol, Kampung Sungai Putat dan Kampung Gajah Mati di sini  menyambut Hari Raya Aidilfitri  tanpa bekalan air sejak 8 April lalu.

Berikutan itu sebilangan perantau memendekkan cuti hari raya di kampung lebih awal dan pulang ke tempat masing-masing kerana urusan harian sangat susah tanpa air.

Susulan masalah itu, Jawatan Kuasa Kebajikan UMNO Jerantut dengan bantuan Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) menyewa dua lori tangki (berat) berat tiga tan untuk memunggah air dari luar dan dihantar ke tiga kampung yang tiada air.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Rahman berkata, anak serta cucunya mengambil keputusan pulang awal sebelah petang hari raya pertama ke Johor kerana gangguan bekalan air di Kampung Sungai Putat.

“Kemeriahan hari raya tahun ini tercalar akibat gangguan bekalan air sebelum hari raya pertama ketika penduduk sibuk membuat persiapan menyambut hari raya dan sebilangan perantau mula pulang,” katanya ketika ditemui  hari ini.

Katanya, walaupun ada bekalan air dihantar  Paip dengan bantuan Jawatan Kuasa Kebajikan UMNO Jerantut tetapi ramai penduduk dan perantau tidak selesa kerana terpaksa mengangkut air daripada lori tangki.

Seorang perantau di  Felda Padang Piol pula berharap kerajaan negeri menaik taraf LRA termasuk menggantikan paip lama yang kerap rosak ke kawasan penempatan bagi memulihkan keadaan serta keselesaan penduduk dan perantau ketika berhari raya.

“Tahun ini, saya  bersemangat beraya bersama dengan keluarga di sini, tetapi malangnya menjadi masalah pula akibat gangguan bekalan air,” katanya yang bekerja di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri Pulau Tawar yang juga wakil kerajaan negeri, Haris Salleh berkata, gangguan bekalan air dua hari sebelum H Aidilfitri perkara di luar jangkaan.

“Hal ini kerana kerosakan pam air bersih di LRA Padang Piol bermula pada 8 April lalu sehingga menjejaskan seramai 1,227 orang pengguna. Bagaimanapun notis telah dikeluarkan oleh pihak Paip berkaitan masalah ini.

“Kerosakan berkenaan berjaya dibaiki namun akibat penggunaan tinggi pada musim perayaan menyebabkan tekanan air di LRA agak rendah sehingga menjejaskan pengguna khususnya rumah yang terletak di kawasan tinggi,” katanya di sini hari ini.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN