10 rumah rosak akibat ribut ketika Aidilfitri

10 rumah rosak akibat ribut ketika Aidilfitri

SALAH sebuah rumah yang rosak akibat ribut kuat dan angin kencang ketika sambutan 1 Syawal lewat petang semalam di Kepala Batas, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS : Sekurang-kurangnya 10 buah rumah terjejas akibat ribut kuat susulan hujan lebat dan angin kencang yang berlaku di beberapa kawasan di sini sejak lewat petang semalam.

Antara lokasi yang terkesan akibat bencana itu ialah di Kampung Permatang Pak Maras dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Kadun) Bertam serta beberapa kampung lain termasuk Kampung Permatang Tok Labu dan Kampung Permatang Tok Brain di Penaga.

Lokasi lain yang terlibat ialah di sekitar Kampung Sungai Kedak, Kampung Kancut, Taman Penaga, Kampung Padang serta Kampung Kota Aur, juga di Penaga.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, beliau segera bergegas ke lokasi dengan ditemani Penyelaras DUN Penaga, Mohd Naim Salleh, sebaik sahaja dimaklumkan mengenai berita tersebut.

Katanya, antara yang sempat dilawati ialah di Kampung Permatang Pak Maras dan Kampung Permatang Tok Labu.

TERDAPAT sekurang-kurangnya 10 buah rumah yang rosak akibat ribut kuat dan angin kencang susulan hujan lebat lebat sejak lewat petang semalam di Kepala Batas, Pulau Pinang

“Besar dugaan mereka di Syawal ini. Alhamdulillah, malam tadi saya dapat usahakan sumbangan bantuan awal kepada setiap mangsa yang terlibat.

“Terima kasih (diucapkan) kepada Penghulu dari Pejabat Daerah dan Tanah SPU (Seberang Perai Utara) yang telah segera melawat petang tadi (semalam).

“Saya dan Ustaz Naim (Salleh) akan selaraskan bantuan bersama agensi yang berkaitan,” ujar Reezal Merican dalam status yang dimuat naik ke dalam laman Facebook beliau, hari ini.

Difahamkan, selain daerah SPU, ribut kuat dan angin kencang turut melanda beberapa daerah lain termasuk di Seberang Perai Tengah (SPT) serta bahagian pulau iaitu di daerah Timur Laut dan Barat Daya sehingga mengakibatkan pokok tumbang dan sebagainya.

Antara lokasi yang terlibat di sebelah pulau termasuk di Jalan Brown, Lebuh Union, Kampung Rawa (off Jalan Patani), Halaman York, Jalan Thomas (Bukit Dumbar), Mutiara Perdana, Hilir Pemancar, Lorong Erskine, Pesara Mahsuri, Medan Fetterdan Batu Feringghi serta beberapa kawasan lain.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN