SHAH ALAM: Kadar bayaran Zakat Fitrah bagi 2024 di negeri ini kekal seperti tahun lalu iaitu RM7, RM14 dan RM21 berdasarkan jenis beras yang digunakan oleh umat Islam di seluruh Selangor.
Kadar tersebut kekal mengikut harga beras setiap gred dan jenis menerusi penilaian berdasarkan satu gantang Baghdad atau 2.6 kilogram (kg) beras.
Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam kenyataannya memberitahu, kadar RM7 adalah bagi pengguna yang menggunakan beras Super Spesial Tempatan lima peratus, sementara RM14 pula bagi beras Super Import, Beras Perang, Beras Pulut, Herba Ponni dan Beras Wangi.
Menurutnya, kadar RM21 yang tertinggi adalah ditetapkan kepada pengguna yang menggunakan beras jenis Basmathi, Beras Jepun, Beras Merah dan setaraf dengannya.
“Untuk makluman, kadar zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan ini telah diperkenalkan oleh LZS sejak tahun 2018 lagi.
“Sehubungan itu, tiga jenis kupon fitrah berwarna yang bersandarkan nilai mata wang ringgit Malaysia digunakan sepanjang Ramadan ini. Kupon fitrah berwarna hijau bagi kadar fitrah bernilai RM7, kupon berwarna merah bernilai RM14 dan kupon berwarna oren bernilai RM21,” katanya, hari ini.
Dalam pada itu, LZS memaklumkan, seramai 2,778 orang Penolong Amil Fitrah (PAF) di lantik di seluruh negeri bagi memudahkan umat Islam menunaikan Zakat Fitrah.
Justeru, orang ramai dinasihatkan menunaikan zakat itu kepada penolong amil yang dilantik berdasarkan kad tauliah serta sijil lantikan disahkan LZS.
“Pembayaran zakat fitrah juga boleh dibuat melalui 17 Penolong Amil Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan 96 Maahad Tahfiz serta Sekolah Agama Swasta di negeri Selangor.
“Di samping itu, LZS turut menyediakan pelbagai platform pembayaran dalam talian yang lebih pantas dan selamat. Antara saluran pembayaran zakat yang boleh dilakukan secara dalam talian,” ujarnya.
Platform dalam talian yang disediakan seperti EZakatPay melalui laman https://fpx.zakatselangor.com.my, perbankan internet, portal MyEg. Pos Online, aplikasi e-dompet MAE, Touch N Go, Selangkah, GoPayz dan Boost
LZS turut menyediakan Zakat On Wheels di lokasi strategik seperti di masjid, bazar Ramadan, pasar tani, pasar raya dan sebagainya di sekitar Selangor bagi memudahkan umat Islam yang memerlukan perkhidmatan LZS.
Menerusi kenyataan sama, LZS turut memaklumkan akan membuka 18 cawangannya di seluruh Selangor selama tujuh hari seminggu termasuk cuti umum sepanjang Ramadan ini. Ini bagi memudahkan masyarakat yang mengambil kesempatan menunaikan zakat harta dan fitrah pada bulan Ramadan.
Waktu urusan pada hari bekerja bermula dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang. Manakala pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum, cawangan LZS akan dibuka bermula 9.00 pagi hingga 3.00 petang. – UTUSAN










