PETALING JAYA: Semua pegawai dan anggota polis diminta melaksanakan tugas secara profesional dan bertunjangkan integriti serta tata kelola yang baik.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) harus menghayati sumpah taat untuk memastikan keselamatan dan kedaulatan negara.
“Kepada seluruh warga Sang Saka Biru, marilah sama-sama kita memperbaharui sumpah taat setia kepada Raja dan Negara, serta berikrar untuk memastikan keselamatan rakyat dan kedaulatan negara terus terpelihara.
“Dengan tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’, seluruh anggota PDRM sentiasa bersedia untuk memikul tanggungjawab dalam memastikan keselamatan negara dan ketenteraman awam,” kata beliau dalam perutusan khas sempena Peringatan Hari Polis Ke-217 yang dimuat naik di laman Facebook rasmi PDRM hari ini.
Dalam kenyataan sama, beliau turut mengucapkan penghargaan kepada kerajaan, Kementerian Dalam Negeri, pasukan rakan sejawat, dan semua pihak yang terus menyokong usaha PDRM.
Beliau berkata, hubungan rapat antara polis dan masyarakat sebagai rakan strategik telah membantu dalam usaha pencegahan jenayah dan membentuk masyarakat yang bertanggungjawab serta cintakan keamanan.
Pada masa sama, Razarudin meluahkan rasa bangga terhadap warga PDRM sebagai wira negara yang juga tulang belakang utama kekuatan pasukan itu. – UTUSAN









