PETALING JAYA: Seorang wanita warga emas dilaporkan meninggal dunia akibat sesak nafas dalam kebakaran dua buah rumah di Jalan USJ 4/4C, USJ 4, Subang Jaya, dekat sini awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Bomba dan Penyelamat Selangor menerima panggilan kecemasan pada 1.15 pagi berkaitan kejadian terbabit.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, kebakaran melibatkan dua buah rumah jenis teres yang terbakar 60 peratus serta sebuah kenderaan.
“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya dikejarkan ke lokasi kejadian dan didapati terdapat kebakaran di kediaman terbabit.
“Api berjaya dikawal pada 1.40 pagi oleh pihak bomba. Terdapat seorang wanita berusia 70-an berjaya dibawa keluar dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad Mukhlis, seorang lagi mangsa lelaki berusia 70-an dipercayai suami kepada wanita terbabit turut berjaya diselamatkan oleh pihak bomba dan hanya mengalami sesak nafas.
Jelasnya, punca kejadian masih dalam siasatan.- UTUSAN










