Wanita berisiko tercicir dalam ekonomi, sosial - Utusan Malaysia

Wanita berisiko tercicir dalam ekonomi, sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHUN ini, lebih 2.3 juta penduduk akan tergolong dalam kategori wanita muda berumur antara 25 hingga 34 tahun. 

Kebanyakannya bakal memulakan fasa kehidupan baharu iaitu melangkah ke alam pekerjaan, mendirikan rumah tangga di samping mempunyai anak dan berkeluarga. 

Namun, golongan ini turut berdepan dilema sama ada untuk terus bekerja atau melepaskan semuanya demi memikul tanggungjawab menjaga ahli keluarga termasuk anak, ibu bapa, mentua dan adik-beradik. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kaum hawa lebih berisiko tercicir, apabila dihambat cabaran ekonomi atau sosial. 

Justeru, usaha memperkasakan golongan itu amat dituntut bagi memastikan mereka kekal dalam pasaran pekerjaan. 

“Peranan wanita pada masa ini sama pentingnya dengan kaum lelaki. Wanita dilihat hebat dan cekal dan memiliki banyak potensi. 

“Bahkan, sumbangan mereka menjadi pemangkin kepada kecemerlangan negara dan tonggak utama dalam pembangunan sosial masyarakat,” katanya ketika berucap dalam sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024 baru-baru ini. 

Bertemakan ‘Wanita Dijulang, Negara Gemilang’, ia sekali gus menjadi simbolik penghargaan kerajaan terhadap peranan wanita sebagai penggerak utama kemajuan negara, pembangunan institusi kekeluargaan dan pengukuhan masyarakat penyayang. 

Majlis dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Dalam perkembangan sama, Nancy berkata, pihaknya akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif meliputi aspek pembangunan ekonomi, keselamatan dan kesejahteraan wanita serta kepimpinan. 

Ujarnya, langkah itu selaras untuk mencapai kesaksamaan gender dan memaksimumkan potensi serta peranan kaum hawa. 

“Wanita mesti berdikari dan kurangkan kebergantungan kepada orang lain bagi tujuan kelangsungan hidup. 

“Walaupun pelbagai inisiatif sudah diumumkan kerajaan dalam Belanjawan Madani 2024 tetapi saya ingin memohon agar inisiatif pemerkasaan wanita digandakan lagi, terutama dari segi ekuiti ekonomi,” katanya. 

Kongsinya, setiap ringgit dibelanjakan terhadap kehidupan dan kesejahteraan wanita, merupakan satu bentuk pelaburan kolektif yang tidak merugikan negara. 

DANA TOKOH WANITA 

Nancy turut menyambut baik pemberian dana RM50,000 kepada 100 tokoh wanita bagi mengendalikan pelbagai program pembangunan. 

Bagaimanapun mekanisme pemilihan masih belum diputuskan dan akan dibincangkan dalam mesyuarat kelak. 

“Kita akan bermesyuarat untuk menentukan kriteriakriteria penerima yang layak, sebab tidak sangka pengumuman dibuat malam ini,” katanya. 

EMPAT PENERIMA 

Sementara itu seramai empat wanita dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kasih 2024. 

Kategori Wanita Bakti dimenangi Ahli Jawatankuasa Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Kedah, Noraini Yaacob, 47. 

Manakala Pengasas Pertubuhan Pembangunan Insan Sarawak (PPIS), Manjeet Kaur Sidhu mengungguli kategori Wanita Harmoni dan penggiat kraf anyaman buluh, Emily Jeneble (Wanita Komuniti). Atlet para renang negara, Carmen Lim pula merangkul kategori Wanita Cekal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini