Tikam rakan sekerja, warga Pakistan direman - Utusan Malaysia

Tikam rakan sekerja, warga Pakistan direman

Ditikam
POLIS membawa keluar mayat seorang lelaki warga Bangladesh yang ditikam dalam sebuah hostel dekat kilang di Seksyen 36 di Shah Alam, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang lelaki warga Pakistan direman selama tujuh hari selepas ditahan polis dipercayai akibat membunuh rakan sekerjanya dari Bangladesh dengan tikaman berkali-kali dalam satu kejadian, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, lelaki berusia 51 tahun itu direman sehingga 26 Mac ini selepas Mahkamah Majistret membenarkan permohonan tersebut.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, seorang pekerja kilang maut akibat dipercayai akibat ditikam berkali-kali oleh rakan sekerjanya dalam hostel sebuah kilang dekat Seksyen 36, disini, semalam.

Mohd. Iqbal Ibrahim memberitahu, kejadian dipercayai berpunca daripada mangsa warga Bangladesh berusia 49 tahun minum air oren milik suspek yang merupakan warga Pakistan ketika sedang berbuka puasa.

Menurutnya, polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut kira-kira pukul 7.20 malam daripada seorang lelaki yang juga pekerja di kilang berkenaan.

“Kejadian berpunca daripada suspek marah apabila simati meminum air orennya semasa berbuka puasa. Suspek bertindak menikam simati beberapa kali dengan menggunakan sebilah pisau yang diambil daripada dapur.

“Pada hari sama, kira-kira 10 minit kemudian, tangkapan dibuat ke atas suspek di tempat kejadian. Suspek seorang lelaki berusia 51 tahun bekerja bersama-sama mangsa. Turut dirampas adalah pisau digunakan untuk menikam mangsa,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Jelas Mohd. Iqbal, permohonan reman dibuat bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan 12 kali sebatan jika tidak dikenakan hukuman mati.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut bolehlah menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Md. Anuar Md Amilah @ Harun di talian 0192255597,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN