Syor Tabung Wakaf Mara Madani dibentang April

Syor Tabung Wakaf Mara Madani dibentang April

wakaf
Asyraf Wajdi Dusuki
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kertas cadangan  berhubung Tabung Wakaf Mara Madani dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tempoh sebulan lagi termasuk mengambil kira beberapa pendekatan yang akan dimasukkan di dalam kertas cadangan tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, antara cadangan tersebut adalah aspek tadbir urus yang kemas termasuk  cadangan laporan kewangan mestilah bersifat telus dan setiap aktiviti yang dijalankan perlu dilaporkan secara berkala kepada Lembaga Pemegang Amanah, malah perlu dipamerkan dalam media sosial.

Beliau berkata, cadangan itu penting kerana ia adalah salah satu aspek dalam tata kelola dan urus tadbir sekali gus rakyat berhak tahu ke mana wang wakaf itu dimanfaatkan.

“Paling penting, kita kena faham wakaf sedekah ini tidak hilang nilai pokok dan pahalanya berkekalan sehingga kiamat. Paling utama adalah sudah tiba masanya kita mengikut model negara seperti Turki yang mana institusi pendidikannya ditanggung dan dibiayai wakaf.

“Mara pula adalah institusi terbaik menjadi sekretariat Pusat untuk uruskan wakaf ini kerana ada ekosistem yang lengkap untuk membantu bumiputera.

“Kita ada 344 universiti pendidikan di bawah Mara sahaja dan setiap tahun kita bantu lebih 250,000 anak muda dalam pelbagai bidang termasuk bidang kemahiran,” katanya ketika dihubungi.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis penutup Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) mengumumkan, kerajaan bakal mewujudkan Tabung Wakaf Mara Madani dengan sasaran dana berjumlah RM1 bilion dalam tempoh dua tahun dengan diterajui oleh Mara.

Usaha itu antara tujuh inisiatif baharu bagi memperkasa ekonomi bumiputera dan dijangka memberi manfaat kepada 70.1 peratus rakyat bumiputera.

Inisiatif lain juga adalah meluluskan dana permulaan RM1 bilion bagi melahirkan usahawan baharu dalam kalangan bumiputera.

Asyraf Wajdi berkata, Tabung Wakaf Mara Madani boleh dimanfaatkan kepada beberapa golongan contohnya kepada yang ingin memulakan perniagaan atau intervensi tuisyen percuma kepada anak luar bandar dan Orang Asli yang membolehkan ahap perkembangan dari segi pendidikan serta pembangunannya dipertingkat.

“Jadi, kita perlu ada tata kelola dan tadbir urus terbaik untuk masyarakat tahu ke mana wang wakaf dimanfaatkan. Semua syor ini kita perincikan dalam kertas cadangan yang dibentangkan kepada Perdana Menteri dalam tempoh sebulan dari sekarang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×