Syarikat telco perlu tanggungjawab nombor diguna scammer

Syarikat telco perlu tanggungjawab nombor diguna scammer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco) yang digunakan scammer bagi tujuan penipuan dalam talian perlu bertanggungjawab ke atas setiap nombor yang digunakan.

Timbalan Dekan Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Ibrahim Mohamed berkata, setiap syarikat telco perlu memainkan peranan dalam mencegah penipuan dalam talian berleluasa.

“Syarikat telco juga patut bertanggungjawab ke atas nombor telefon yang mereka keluarkan dan tindakan tegas perlu dikenakan ke atas institusi perbankan yang menjadi transaksi penipuan.

“Dalam pada itu juga, syarikat telco perlu memantau nombor-nombor yang disalahgunakan bagi tujuan penipuan scammer dan membuat analitik ke atas penggunaan talian telefon serta membuat corak perlakuan penipuan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan, Rang Undang-undang (RUU) bagi meningkatkan keselamatan digital turut mengambil kira tindakan sewajarnya terhadap institusi perbankan yang cuai bagi jenayah penipuan dalam talian.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, bank perlu bertanggungjawab dan tidak boleh mengelak daripada diambil tindakan sekiranya menjadi punca kepada kes penipuan dalam talian.

Ibrahim berkata, pihak perbankan perlu berhati-hati dan memperketat beberapa perlindungan serta kawalan data peribadi pengguna agar tidak jatuh ke tangan scammer.

“Beberapa bank sudah mula memperketat pembukaan akaun bank seperti meminta bukti alamat dan nombor telefon yang didaftar atas nama sendiri atau penama lain bagi mengelakkan daripada ‘keldai akaun’.

“‘Keldai akaun’ ini diupah oleh scammer untuk menggunakan akaun mangsa dengan membuat transaksi duit ke tempat lain. Jadi pihak bank perlu memastikan pemohon tidak akan menyalah guna akaun tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Siber UKM, Khairul Akram Zainol Ariffin berkata, syarikat telco sepatutnya membantu pihak berkuasa mengurangkan aktiviti penipuan dalam talian.

“Pihak syarikat telco boleh membantu dalam proses mengurangkan aktiviti berkaitan scammer dengan beberapa langkah seperti menyenaraikannya dalam senarai hitam nombor tersebut dan tidak membenarkan mana-mana pautan diberikan kepada pengguna.

“Selain itu, pengguna perlu dididik dan diberikan kesedaran berkenaan keselamatan siber agak tidak menjadi mangsa dalam penipuan dalam talian yang berlaku,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN