Sungai Bernam mula diancam ikan baung ekor merah - Utusan Malaysia

Sungai Bernam mula diancam ikan baung ekor merah

Sungai Bernam
NORAISYAH Abu Bakar (tengah) melihat pelepasan benih udang galah pada program itu dekat Pusat Konservasi Kelip-Kelip Kampung Sungai Panjang, di Sabak Bernam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Ikan baung ekor merah yang juga spesis pemangsa dikesan mula mengancam populasi ikan tempatan di Sungai Bernam di sini, sejak kebelakangan ini.

Pengarah Jabatan Perikanan Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, pihaknya memperoleh laporan itu daripada nelayan darat yang menemukan ikan asing berkenaan di sungai tersebut.

“Biarpun masih terkawal, kami tetap memandang serius tindakan melepaskan ikan pemangsa yang merosakkan ekosistem sungai sedia ada.

“Kami mempunyai pegawai khas bagi menjaga nelayan darat dan ada daripadanya mengadu kewujudan ikan pemangsa di sungai itu,” katanya pada program Pemuliharaan Sumber Perikanan Darat Sungai Bernam di Pusat Konservasi Kelip-Kelip Kampung Sungai Panjang, semalam.

Pelepasan ikan asing atau spesies ‘alien’ dilaporkan berlaku berikutan terdapat tindakan tertentu pihak tidak bertanggungjawab kononnya untuk membayar nazar atau ritual mengakibatkan kepupusan ikan asli tempatan di negeri ini lebih cepat.

Pemilihan ikan khususnya jenis keli afrika atau nama saintifiknya clarias gariepinus yang dikatakan mempunyai daya tahan tinggi amat bersesuaian dengan nazar dibuat golongan tersebut.

Kehadiran ikan penceroboh ini dikatakan boleh memakan mana-mana spesies ikan dengan begitu banyak dan cepat bertindak balas kepada sumber makanan baharu.

Jelas Noraisyah, baung ekor merah dibawa masuk bagi tujuan hobi atau dipelihara dalam akuarium namun dilepaskan pihak tidak bertanggungjawab berikutan kos makanan semakin tinggi.

“Sehingga satu tahap, penternak yang membela ikan pemangsa ini tidak mampu memberi makan kepada ikan itu lalu melepaskannya ke sungai.

“Selain itu, ia mungkin berpunca banjir hingga menyebabkannya terlepas dan lambakan ikan larangan di perairan sungai mengakibatkan ikan tempatan berkurangan,” ujarnya.

Justeru, Noraisyah berkata, pihaknya akan terus meningkatkan operasi pemburuan menangkap baung ekor merah di negeri ini.

“Operasi itu mula dilaksanakan pada 2022 lalu dan terdapat ikan pemangsa ditangkap sehingga mencecah 30 kilogram. Kami juga telah memanggil penyelidik bagi membantu melakukan kajian mengenai perkara tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN