SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berhasrat eneruskan peranannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang akan tamat tempoh Sabtu ini.
Pejabat Sultan Selangor menerusi kenyataannya berkata, baginda menyerahkan perkara itu kepada Majlis Raja-Raja Melayu untuk memilih seorang pengerusi baharu dalam kalangan raja pemerintah bagi meneruskan fungsi dan aspirasi MKI.
“Langkah itu agar kesinambungan fungsi dan aspirasi MKI akan dapat dilaksanakan dengan lebih baik di bawah kepemimpinan pengerusi baharu.
“Baginda turut menzahirkan ucapan terima kasih atas komitmen semua ahli mesyuarat serta wakil-wakil dari semua negeri dan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) selaku sekretariat MKI yang melaksanakan tugasnya sehingga mesyuarat MKI dapat dilaksanakan dengan sempurna,” katanya di sini semalam.
Sultan Sharafuddin sebelum ini menjadi Pengerusi MKI berkuatkuasa selama dua tahun dari 10 Mac 2022 hingga 9 Mac tahun ini.
Dalam kenyataan sama, baginda turut menegaskan kewajipannya selaku MKI untuk sentiasa mengangkat dan mempertahankan syiar Islam di Malaysia dalam setiap keputusan yang dibuat secara muzakarah.
Mengikut Peraturan 2(1) Peraturan-Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia 2022, Pengerusi MKI hendaklah dipilih dalam kalangan Raja Pemerintah oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan hendaklah memegang jawatan selama tempoh dua tahun dan boleh diperbaharui.
Sementara itu, Sultan Sharafuddin turut menyemak semua minit mesyuarat yang lalu dan memastikan Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam yang telah ditubuhkan, menjalankan tugas yang diamanahkan.
Terdahulu baginda berkenan menerima menghadap Ketua Pengarah Jakim merangkap Setiausaha MKI, Datin Hakimah Mohd. Yusoff dan Sekretariat MKI.
Pada mesyuarat terakhir bersama jawatankuasa itu, baginda menzahirkan penghargaan dan rasa sukacita terhadap kerjasama yang diberikan oleh ahli-ahli jawatankuasa dan sekretariat sepanjang baginda memegang jawatan sebagai Pengerusi MKI. – UTUSAN










