SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menegur Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang supaya lebih berhati-hati dan tidak mengulangi perbuatan menghina Raja-Raja Melayu melalui kenyataannya.
Hal demikian kerana kenyataan dibuat Ahli Parlimen Marang itu baru-baru ini disifatkan cuba mempertikai tindakan Majlis Raja-Raja Melayu dan Sultan Selangor sendiri sebagai Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ewah Agama Islam (MKI).
Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Muhamad Munir Bani berkata, Sultan Sharafuddin bertitah kenyataan dikeluarkan Abdul Hadi bukan sahaja boleh mengelirukan, malah membawa kegelisahan yang menjurus kepada perpecahan perpaduan umat Islam di negara ini.
Menurutnya, Abdul Hadi dikatakan membuat kenyataan secara terbuka dalam media sosial tanpa membaca secara menyeluruh dan mendalam titah baginda berhubung keputusan Mahkamah
Persekutuan dalam kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid yang mencabar keabsahan 16 peruntukan kesalahan jenayah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 2019.
“Kenyataan Abdul Hadi secara tidak langsung mengaitkan titah ucapan baginda dengan sikap Raja-Raja Melayu yang perlu berwawasan kepada kehidupan akhirat dan tidak mengejar kepentingan dunia semata-mata adalah tidak bersesuaian dan tidak beradab.
“Ucapan Sultan Selangor semasa mesyuarat MKI pada 15 Februari lalu menitahkan agar penyelesaian dicari bagi memastikan kompetensi Dewan Negeri untuk menggubal undang-undang syariah diperkemaskan agar tiada lagi isu pertindihan kuasa dengan Kerajaan Persekutuan.
“Dalam masa sama, baginda juga menyarankan kerajaan negeri mempertingkatkan usaha memperkasakan bidang kuasa mahkamah syariah di negeri-negeri. Justeru, baginda menitahkan supaya jawatankuasa khas dibentuk untuk meneliti perkara tersebut,” katanya menerusi sepucuk surat setebal lima muka surat kepada Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Abdul Halim Tamuri, semalam.
Terdahulu, Abdul Hadi dalam kenyataannya menyebut semua manusia dihilangkan pangkat dan kedudukan di dalam kubur sementara tugas dan jawatan mereka akan dipersoal serta dihisab pada hari akhirat.
Malah beliau turut mendakwa rakyat negara ini diperangkap oleh penjajah yang bukan Islam supaya terpengaruh dengan nasihat mereka yang sesat daripada petunjuk Allah SWT.
Dalam pada itu, Muhamad Munir memaklumkan Sultan Selangor menyifatkan kenyataan dibuat Abdul Hadi sebagai tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan seperti yang diikrarkan beliau untuk dipertahankan sepanjang menjadi Ahli Parlimen.
“Jadi, kenapa sekarang beliau mempertikaikan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara sedangkan Islam ditetapkan sebagai agama Persekutuan semenjak digubal pada 1957.
“Adakah Abdul Hadi sendiri tidak lagi menghormati Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara? Tidakkah itu juga menggambarkan beliau sengaja mencetuskan polemik politik demi meraih sokongan rakyat khususnya orang Melayu?,” soalnya.
Katanya lagi, kenyataan dibuat Abdul Hadi juga dikatakan tidak menghormati Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam bagi setiap negeri serta pemerintah utama negeri dan negara. – UTUSAN










