KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V bertitah mahu jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) disambung sehingga ke Rantau Panjang.
Titah tersebut dibaca oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud.
Baginda bertitah, langkah itu mampu mengukuhkan hubungan antara Malaysia dan Thailand sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi antara sempadan.
“Beta menyeru supaya projek jaringan jalan raya utama di Kelantan seperti Central Spine Road dan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai disiapkan dalam tempoh masa yang ditetapkan.
“Selain itu, projek-projek tertangguh yang lain seperti jambatan Pengkalan Kubor-Tak Bai, Jambatan Palekbang dan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa Tiga (LPT 3) dapat disegerakan bagi memastikan rakyat beroleh manfaatnya,” titahnya.

Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Ke-15 Tahun 2024 di Kompleks Kota Darulnaim di sini, semalam.
Sultan Muhammad V turut bersimpati dengan rakyat yang ditimpa bencana banjir baru-baru ini.
Titah baginda, suatu penyelesaian yang komprehensif perlu dibuat dengan kadar segara bagi menyelesaikan masalah bencana banjir.
“Beta dimaklumkan kemajuan projek pelaksanaan Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan dan Sungai Golok Fasa 1 berada pada tahap 92 peratus.
“Beta ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di atas kelulusan peruntukan bagi meneruskan pelaksanaan PLSB Sungai Kelantan Fasa 2 dan Sungai Golok Fasa 3,” titah baginda.
Baginda bertitah lagi, projek tersebut diharap akan dilaksanakan dalam tempoh masa yang telah ditetapkan.
Baginda turut gembira melihat status pencapaian semasa projek menaik taraf dan pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra yang mengikut jadual.
“Beta menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di atas kelulusan projek pembangunan fizikal dan bukan fizikal di dalam Rolling Plan Keempat Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12),” titah baginda.
Jajaran ECRL sepanjang 665km itu bermula dari Kota Bharu, Kelantan dan berakhir di Pelabuhan Klang, Selangor.
ECRL yang dianggarkan menelan belanja RM50.27 bilion itu dijadual siap pada Disember 2026.
Dalam pada itu, Sultan Muhammad V mahu Kelantan menjadi pemain utama dalam industri halal.
Baginda bertitah, ia susulan Halal Malaysia diunjurkan berkembang kepada RM500 bilion pada 2030.
“Maka wajarlah, Kelantan yang dasar pentadbirannya Membangun Bersama Islam mengambil peluang menjadi antara pemain utama dalam industri halal.
“Beta dimaklumkan pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri, antaranya menggalakkan usahawan mendapatkan sijil pengesahan halal,” titah baginda. – UTUSAN










