SHAH ALAM: Ketua Cabang PKR Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah menafikan dakwaan kira-kira 100 penduduk dihalau keluar dari rumah masing-masing dekat Kampung Bunga Raya, Kampung Baru Subang, di sini, baru-baru ini.
Bekas Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata, sebuah syarikat, Dania Emas Sdn Bhd melaksanakan kerja pengosongan kawasan sejak 2016 dan mendapat perintah mahkamah pada 1 Februari lalu untuk tujuan berkenaan.
Beliau dalam satu kenyataan menjelaskan, bagaimanapun peguam penduduk berjaya mendapatkan injunksi selama 30 hari terhadap perintah tersebut dan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari mengarahkan exco berkaitan untuk membantu kesemua penduduk terlibat.
“Pada 1994 seramai 74 keluarga dipindahkan ke kawasan tersebut sebelum dipindahkan seramai 33 lagi keluarga oleh sebuah syarikat, Sinar Fadzilat Sdn Bhd yang menjanjikan peluang memiliki Rumah Kos Rendah (RKR) kepada setiap keluarga. Malangnya, rumah tersebut tidak dibina sehingga hari ini.
“Oleh demikian, ramai daripada sejumlah 118 keluarga tersebut berpindah keluar. Sehingga kini tingga 18 keluarga dan terdapat 15 keluarga yang menyewa,” katanya.
Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan lebih 100 penduduk di kampung berkenaan nekad mempertahankan rumah masing-masing selepas diarahkan berpindah walaupun berdepan tindakan perobohan rumah.
Situasi tersebut dihadapi penduduk yang enggan meninggalkan kawasan apabila kebanyakan mereka adalah warga emas dan tidak mampu untuk mendapatkan pinjaman bagi pembelian rumah baharu walaupun di bawah skim kerajaan negeri.
Dalam pada itu, Sivarasa memaklumkan, terdapat tawaran dibuat oleh kerajaan negeri melalui Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, Papparaidu Veraman selepas Menteri Besar mengarahkan kesemuanya dibantu.
“Pada sidang akhbar 5 Januari lalu, saya hadir bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara serta agensi seperti Lembaga Perumahan Selangor (LPHS) menawarkan dua jenis Rumah SelangorKu secara prioriti kepada semua 118 keluarga untuk dibeli pada harga RM50,000 dan RM150,000.
“Semua 118 keluarga asal termasuk 18 mengesahkan penerimaan tawaran itu dan senarai lengkap diterima oleh kerajaan negeri. Majoriti memilih rumah bernilai RM 50,000 yang akan siap tak lama lagi. Mereka yang mampu beli harga RM150 ribu pula sanggup tunggu dua tahun untuk rumah siap,” jelasnya.
Katanya lagi, isu tersebut dianggap selesai selepas campur tangan Menteri Besar.
“Komen-komen oleh pihak ketiga yang bermotif politik, berniat jahat adalah tidak relevan kepada isu itu,” tegasnya. – UTUSAN










