Sindiket pemalsuan dokumen didalangi etnik Rohingya tumpas

Sindiket pemalsuan dokumen didalangi etnik Rohingya tumpas

MOHAMED Usuf Jan Mohamad (kiri) ketika sidang akhbar berhubung kes sindiket pemalsuan dokumen dan menyediakan kemudahan kepada warga asing di IPK Pulau Pinang.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Polis menumpaskan satu sindiket pemalsuan dokumen yang menyediakan kemudahan kepada warga asing didalangi etnik Rohingya susulan tertangkapnya 14 orang suspek dalam 16 serbuan berasingan di Pulau Pinang dan Perlis, bulan lalu.

Daripada 14 orang suspek itu, tiga daripada mereka termasuk seorang wanita merupakan warga tempatan manakala selebihnya adalah warga Rohingya yang terdiri daripada lapan lelaki serta tiga wanita yang kesemuanya berusia dalam lingkungan 18 hingga 63 tahun.

Difahamkan, sindiket itu dipercayai telah mengaut keuntungan sehingga mencecah ratusan ribu ringgit sebulan dan mempunyai ejen-ejen yang terdiri daripada kalangan etnik Rohingya di sekitar kawasan utara manakala warga tempatan yang terlibat dengan sindiket ini pula dipercayai ‘bersubahat’ dengan membenarkan nama mereka digunakan untuk tujuan pembelian kenderaan bagi dijual kepada warga asing terbabit.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, berdasarkan siasatan, sindiket yang aktif sejak dua tahun lalu itu didapati telah mencetak dan menjual kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), visa dan pasport palsu serta dokumen palsu lain yang didalangi lelaki etnik Rohingya berusia 63 tahun.

“Sindiket ini akan menjual kad UNHCR dengan harga RM1,000. Pada masa yang sama, sindiket ini turut menjual dokumen-dokumen palsu lain kepada pelarian dan bayaran dikenakan adalah antara RM150 hingga RM1,000.

“Berdasarkan maklumat yang kita terima, sindiket ini didapati menjalankan aktiviti mencetak dokumen palsu di sebuah rumah flat yang disewa di Butterworth manakala dalang utama sindiket dikatakan tinggal di kawasan lain di Bukit Mertajam,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurut Mohamed Usuf, siasatan juga mendapati, dua lelaki tempatan yang masing-masing berusia 56 dan 63 tahun itu turut memiliki sebanyak 477 buah kenderaan dengan 247 daripada kenderaan tersebut telah didaftarkan dengan menggunakan nama mereka.

“Kenderaan ini dipercayai telah dibeli dan dijual semula kepada warga asing dengan bayaran tertentu. Sebagai contoh, mereka beli motosikal dengan harga RM4,000 tetapi, mereka jual kepada warga asing dengan harga RM5,000. Ini cara yang mereka gunakan untuk mengaut keuntungan kerana kebanyakan mereka tidak bekerja,” katanya.

Tambah Mohamed Usuf, susulan tangkapan tersebut, polis turut merampas pelbagai barangan serta peralatan yang digunakan untuk membuat kad dan dokumen palsu.

“Polis juga merampas 20 keping kad terdiri daripada 10 keping kad UNHCR, dua I-Kad, dua kad CIDB selain enam kad Republic Union of Myanmar yang disyaki palsu.

“Selain itu, polis turut merampas 13 keping pasport Myanmar disyaki palsu, 37 keping sijil milikan kenderaan, 180 keping salinan sijil milikan kenderaan, tiga buah kereta, lapan buah motosikal, dan empat lesen memandu disyaki palsu,” katanya yang memberitahu, kesemua tangkapan ditahan selama 28 hari di bawah Peruntukan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 bermula 15 Februari lalu untuk siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 26A ATIPSOM (Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran) 2007 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun selain boleh dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.

“Ketika ini, polis juga sedang menggiatkan usaha untuk mencari seorang wanita yang dikenali sebagai Sara Moghul Hussin, 50-an, yang beralamat terakhir di Bukit Mertajam, untuk tampil membantu siasatan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN