KUALA SELANGOR: Kekal fokus memegang mandat rakyat dan setia bersama kepimpinan Perikatan Nasional (PN).
Demikian tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan mengenai dakwaan kononnya beliau bakal menyokong kepimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Menurutnya, bagaimanapun tohmahan seumpama itu dianggap perkara biasa dalam dunia politik tanah air.
“Namun, saya baru sahaja menjadi ADUN dan mahu fokus kepada pelbagai isu rakyat di Jeram. Fokus saya kini hanya memegang amanah pengundi dan kekal teguh bersama PN,” katanya ketika ditemui pada program Jeram Lestari di sini, hari ini.
Sebelum ini, Harrison menafikan laporan sebuah portal mengenai perkara itu yang disifatkan tidak benar sama sekali.
Portal itu melaporkan wujud ura-ura lima ADUN Parti Bersatu memberi sokongan mereka kepada kepimpinan Amirudin yang didakwa diketuai bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor yang juga ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.
Malah, laporan sama turut memaklumkan pemimpin yang akan turut menyokong termasuk ADUN Batang Kali, Muhammad Muhaimin Harith Abdullah Sani, Wan Dzahanurin Ahmad (Sungai Kandis) dan Datuk Seri Jamil Salleh (Dengkil).
Bagaimanapun, Harrison menjelaskan, beliau tidak bercadang mengambil tindakan ke atas portal tersebut setakat ini.
“Bagi saya, penafian yang telah dibuat sebelum ini sudah memadai mengenai pendirian saya kepada parti,” ujarnya. – UTUSAN










