Sesak nafas, Aisha Retno kurang makan - Ibu - Utusan Malaysia

Sesak nafas, Aisha Retno kurang makan – Ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi, Aisha Retno, dikhabarkan mendapat serangan anxiety secara tiba-tiba sehingga membuatkan dirinya sesak nafas usai majlis Anugerah Juara Lagu ke-38( AJL 38) berlangsung di Axiata Arena, semalam.

Perkara itu disahkan ibunya, Jean Retno Aryani, yang mengakui, Aisha kurang makan sebelum persembahan bermula.

“Ya benar, dia mengalami serangan sesak nafas tiba-tiba tetapi tidaklah sampai pengsan. Dia sebenarnya mungkin kerana terlalu kepenatan apatah lagi kurang makan sebelum persembahan bermula.

“Dia cuma minum air sedikit kerana mahu tumpu pada persembahan Sutera di pentas AJL38.

“Tetapi Alhamdulillah, semuanya sudah okey. Dia dalam keadaan baik sekarang,”katanya ketika ditemui selepas majlis berlangsung, di sini, ssmalam.

Sementara itu, Aisha pula ketika ditanya mengenai perkara itu mengakui dia terlalu fokus kepada persembahan dan perjuangannya untuk lagu Sutera hingga membuatkan dirinya berdepan dengan insiden seperti itu.

“Kita tak tahu apa yang berlaku kepada tubuh badan kita. Mungkin juga saya kepenatan.

“Jadi, bila Allah cakap sesuatu akan berlaku, ia akan berlaku,”katanya.

Pada masa yang sama, Aisha turut berkongsi rasa bangga kerana dapat berada sebaris dengan dua idolanya iaitu Amir Jahari dan Aina Abdul.

“Amir dan Aina adalah idola saya. Saya bangga dapat berada bersama mereka. Ini kali pertama saya berada di AJL dan akhirnya menyandang gelaran naib juara.

“Kalau ada rezeki lagi selepas ini, saya nak sertai AJL lagi di edisi seterusnya. Mengenai persembahan Sutera, saya ini sebenarnya suka tempat tinggi, tapi tak suka dengan kelajuan.

“Apabila dimaklumkan oleh pasukan produksi bahawa mereka akan ‘tarik’ saya sampai ‘hilang’ (tinggi dari sudut kamera), saya cakap jangan tarik laju-laju nanti jadi macam roller coaster pula,”katanya.

Terdahulu, lagu Hasrat nyanyian Amir Jahari diumumkan sebagai juara AJL 38 sekali gus membawa pulang trofi dan wang kemenangan berjumlah RM100,000.

Dalam pada itu, lagu Sutera nyanyian Aisha Retno diangkat sebagai naib jura dan berjaya membawa pulang trofi serta wang tunai RM50,000.

Aisha juga diumumkan sebagai pemenang Persembahan Terbaik dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM12,000.

Menduduki tempat ketiga pula adalah lagu Jangan Mati Rasa Itu nyanyian dan ciptaan sepenuhnya Aina Abdul, sekali gus menerima wang tunai RM30,000 berserta trofi.

Aina turut membawa pulang trofi Vokal Terbaik dengan membawa pulang trofi dan wang tunai RM12,000.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN