KUALA TERENGGANU: Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menahan sembilan lelaki termasuk lima pelajar sekolah berusia antara 14 hingga 37 tahun ditahan berdekatan sebuah masjid di sini kerana disyaki tidak menunaikan solat Jumaat, semalam.
Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan, Khairul Azizi Idris berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam mengenai sembilan individu tersebut yang berada berdekatan masjid ketika solat Jumaat diadakan.
Menurutnya, susulan itu, pegawai penguat kuasa syariah wanita yang bertugas telah pergi ke lokasi tersebut untuk membuat pemantauan.
“Penguat kuasa syariah wanita telah berada di lokasi dan hasil pemantauan yang dijalankan mendapati semua lelaki itu tidak menunaikan solat Jumaat.
“Lelaki terlibat ditahan dalam operasi yang dijalankan bahagian penguatkuasaan JHEAT dengan kerjasama unit penguatkuasaan daerah kira-kira pukul 2 petang semalam.
“Ketika ditahan, masing-masing hanya berbual kosong sesama mereka sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Khairul Azizi berkata, siasatan kes tersebut dijalankan mengikut Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.
“Lima pelajar sekolah dan empat lelaki dewasa berusia 23 hingga 37 tahun itu telah dibawa ke JHEAT untuk tindakan lanjut dan dibebaskan dengan bon jaminan hadir ke mahkamah.
“Kita nasihatkan orang ramai supaya dapat menjadikan kes seumpama ini sebagai pengajaran dan tidak terlibat dalam kesalahan jenayah syariah,” ujarnya.
Berdasarkan enakmen kesalahan jenayah syariah itu, lelaki mukallaf yang tidak menunaikan solat Jumaat kecuali terdapat keadaan-keadaan yang dibenarkan oleh hukum syarak adalah melakukan kesalahan.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya. – UTUSAN










