GEORGE TOWN : Dua lelaki termasuk seorang kakitangan syarikat pengedar kurma dan seorang wanita ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di negeri ini serta di Kedah kerana disyaki terlibat dalam kes samun wang syarikat kurma berjumlah RM143,941.
Kesemua tangkapan berusia 27 hingga 52 tahun itu ditahan pada Ahad dan Isnin lalu dalam serbuan yang dijalankan di Seberang Perai Tengah (SPT), Seberang Perai Selatan (SPS) dan Sungai Petani.
Selain penahanan kesemua suspek yang merupakan warga tempatan, polis turut berjaya menemukan semula wang yang disamun iaitu berjumlah RM71,019.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, kejadian berlaku pada 27 Februari lalu, kira-kira 2.20 petang apabila seorang lelaki iaitu pekerja sebuah syarikat pengedar kurma di kawasan SPS telah disamun oleh seorang suspek lelaki yang tidak dikenali.
Katanya, kejadian itu berlaku ketika mangsa hendak memasukkan wang syarikat sebanyak RM143,941 ke dalam bank.
”Kejadian samun ini berlaku di parkir bersebelahan Maybank, di Simpang Ampang, SPS. Suspek yang menghampiri mangsa tiba-tiba telah merampas beg yang berisi wang tunai serta melarikan diri dengan menggunakan motosikal,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Usuf berkata, susulan kes itu, polis telah menggerakan pegawai dan anggota untuk menangkap suspek yang terlibat dalam kegiatan samun itu.
”Polis akhirnya berjaya menahan suspek di tiga lokasi berbeza iaitu di SPS, SPT dan Sungai Petani dengan salah seorang daripada suspek iaitu yang berusia 52 tahun adalah kakitangan di syarikat pengedar kurma tersebut.
”Dua lagi suspek merupakan pasangan suami isteri,” katanya yang memberitahu, dua daripada tangkapan mempunyai rekod kesalahan lampau di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu katanya, hasil daripada tangkapan tersebut, polis merampas wang tunai berjumlah RM71,019, sebuah kereta jenis Kia, sebuah motosikal jenis Yamaha LC, sebuah motosikal jenis XDV, tiga buah telefon bimbit, tiga buah keledar, pakaian dan sebuah peti tunai.
”Kesemua tangkapan telah direman selama tujuh hari iaitu sehingga 22 Mac (hari ini) dan kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohamed Usuf berkata, sepanjang Januari hingga Februari lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang telah melancarkan empat Op Cantas Mega yang menyasarkan bekas penjenayah dan orang yang dikehendaki polis.
“Sebanyak 253 serbuan secara berasingan telah dilakukan di sekitar Pulau Pinang, Kedah dan Perlis dan polis berjaya menahan 245 orang. Mereka yang ditahan terdiri daripada 115 lelaki tempatan, 60 perempuan tempatan, 53 lelaki warga asing, 17 perempuan warga asing dan kesemua tangkapan berusia 18 hingga 64 tahun,” katanya.-UTUSAN











