Remaja bunuh rakan dijatuhi hukuman penjara 30 tahun - Utusan Malaysia

Remaja bunuh rakan dijatuhi hukuman penjara 30 tahun

MAHKAMAH Tinggi terletak di Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Perbuatan kejam seorang gadis membunuh rakan baiknya pada empat tahun lalu berbalas apabila dia dijatuhi hukuman penjara 30 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani memutuskan demikian selepas tertuduh, Siti Nur Athirah Azmi, 23, membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan membunuh Siti Nur Surya Ismail.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Siti Nur Surya yang ketika itu berusia 19 tahun.

Perbuatan tersebut dilakukan Siti Nur Athirah di rumah mangsa di Kampung Lubuk Batu, Jalan Bukit Tadok, Telemong , Hulu Terengganu antara pukul 8.30 pagi dan 9.30 pagi, 1 November 2020.

Dia mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 tahun hingga 40 tahun dan minimum 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman pemenjaraan berdasarkan pindaan terkini mengikut Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.

Siti Nur Athirah diarahkan menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu 2 November 2020.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah dan Mohd Khairuddin Idris manakala tertuduh pula diwakili peguam, Azura Ghazali.

Media pada 2 November 2020 melaporkan negara pernah digemparkan dengan pembunuhan kejam setelah Siti Nur Surya ditemukan mati dengan kesan tikaman dan pergelangan tangan kirinya putus.

Mayat Siti Nur Surya ditemukan mati berlumuran darah oleh adik bongsunya, Norliyana Shuhada yang ketika itu berusia 15 tahun di ruang tamu sewaktu pulang dari sekolah.

Mangsa dijumpai dalam keadaan ngeri dengan kesan tetakan di muka, leher dan dada selain pergelangan tangan kirinya putus.

Tambah menyedihkan perbuatan kejam itu disaksikan ibu Siti Nur Surya yang terlantar sakit akibat kanser otak di katil berhampiran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN