Ratu Rock Kekal Bertakhta - Utusan Malaysia

Ratu Rock Kekal Bertakhta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA usia 57, penyanyi rock tersohor, Ella Aminuddin kekal bergelar Ratu Rock Malaysia. Tiada mana-mana penyanyi rock wanita yang mampu mencabar, apa lagi berjaya merampas gelaran itu daripada Ella sampai ke saat ini. 

Meskipun gelaran diberikan media dan peminat, ia tetap menyimpan nilai yang menjadi penanda aras kepada pencapaian yang direkodkan. 

Sebagai penyanyi rock, perjalanan kerjaya Ella jauh perginya. Malah anak jati Pulau Pinang ini berdiri satu aras dengan penyanyi rock lelaki, solo atau berkumpulan lain. 

Ketika dihujani pujian dan penghargaan, Ella membumi. Padanya, yang dimiliki dan dikecapi hari ini adalah kurniaan maha Esa yang tinggi nilainya. 

“Tiada yang selamanya kekal, begitu jugalah gelaran yang diberikan peminat. Kelak, tiba waktu ia bertukar tangan. 

“Saya hargai, hormat dan berterima kasih kerana peminat dan media beri penghormatan untuk saya menjadi Ratu Rock Negara. 

“Saya tidak pernah rasa terbeban dengan gelaran. Ini pemberian masyarakat. Tak mustahil satu masa nanti ia dimahkotakan pula kepada mereka yang layak,” katanya. 

Ella mungkin juga penyanyi rock wanita terkaya Malaysia. Itu tidak mustahil kerana di negara kita, Ella penyanyi rock wanita paling menonjol dan dianggap crowd puller. 

“Saya aminkan sahaja. Paling kaya atau tidak bukanlah ukurannya. 

“Yang penting kita semua bekerja untuk kelangsungan hidup. 

“Jadi saya bersyukur kerana masih ada rezeki dalam bidang ini,” ujarnya.

SELAGI PEMINAT TERIMA

ELLA masih ingin berkarya, tidaklah hanya mengharapkan untuk bertahan dengan lagu-lagu lamanya sahaja. 

Malah penyanyi bersuara serak-serak basah ini meyakini bakat komposer muda yang hari ini muncul bagai cendawan selepas hujan. 

“Kalau ditanya dengan siapa saya mahu bekerjasama, tentunya dengan komposer yang bagus dan berkualiti. 

“Saya terbuka sebenarnya, tak kisah komposer baru atau lama. Asalkan lagu yang dihasilkan untuk saya sesuai cita rasa saya dan peminat. 

“Album baharu Insya-Allah akan saya umumkan nanti. Saya nak buat kejutan untuk peminat,” kongsinya. 

Kata Ella, dia akan kekal berkarya selagi kehadirannya diterima dan dialu-alukan. 

“Bidang seni adalah periuk nasi saya. Inilah kerjaya yang ditentukan untuk saya. 

“Insya-Allah saya akan tetap di sini. Cuma saya harap peminat doakan kesihatan saya dan terima seadanya saya,” ujarnya.

KEMBANGKAN PERNIAGAAN 

PEMINAT menyambut baik fesyen Muslimah yang sering digayakan Ella selepas penyanyi ini mendirikan rumah tangga dan pertama kali mengerjakan umrah. 

Perkara itu memberi inspirasi kepadanya untuk menjadikan minat kepada fesyen jenis itu sebagai perniagaan. 

“Fesyen ibarat nyanyian yang menjadi sebahagian perniagaan saya. Kalau saya buat sesuatu, saya pasti nak kembangkan. Begitu juga halnya dengan perniagaan pakaian. 

“Nak mulakan bukan mudah. Awal dulu susah saya nak mencari tapak. Saya pun mula dengan jenama Rockqueen yang kini keluar dengan koleksi abaya dan ada laman web, rockqueen.com.my untuk memudahkan peminat dapatkan koleksi pakaian saya. 

“Tapi Allah beri rezeki saya berniaga. Maka sekarang saya terus teroka lagi apa yang boleh saya buat dalam bidang perniagaan,” jelasnya. 

Ella mengakui minat fesyen abaya dan terinspirasi menghasilkan koleksi pakaian lebih sopan. 

“Saya nak mempromosikan pakaian sopan dengan kualiti yang bagus dan harga pun mampu milik, RM200 ke bawah. 

“Fesyen dan muzik berkait rapat dan tak dapat dipisahkan. Tapi walaupun saya sudah jadi peniaga, saya belum sedia bersara dari dunia nyanyian. Bila tiba masanya, saya akan umumkan,” kongsinya.

DEMI RAKYAT PALESTIN

KUNJUNGAN ke Palestin pada 2014 membuatkan Ella dekat dengan masyarakat negara bergolak itu. 

Ella akui dia sangat terkesan dengan nasib rakyat Palestin. Justeru Ella gunakan perniagaan untuk mengumpul dana bagi membantu rakyat di sana. 

“Saya tak percaya, dan bersyukur kerana dapat ke Tebing Barat dan Masjidil Aqsa. Tempatnya indah dan cantik. 

“Saya terkesan dengan apa yang menimpa rakyat Palestin. Sebab itu saya konsisten, hasil jualan pakaian yang saya usahakan sebahagiannya juga saya salurkan untuk membantu rakyat negara itu menerusi inisiatif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan,” tekadnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN