Prolintas Infra BT ‘pencetus’ amanah perniagaan di Malaysia?

Prolintas Infra BT ‘pencetus’ amanah perniagaan di Malaysia?

Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Sistem Lingkaran Lebuhraya Kajang (SILK) ialah sebahagian daripada struktur amanah perniagaan yang diuruskan oleh pengurus pemegang amanah, Prolintas Managers Sdn Bhd yang akan disenaraikan di bawah Prolintas Infra BT, amanah perniagaan pertama di Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Amanah Perniagaan (BT) menjadi bualan hangat sejak kebelakangan ini berikutan pelancaran Prolintas Infra Business Trust. Tidak menghairankan apabila terdapat sebilangan besar pelabur dan orang awam yang mungkin tidak mengetahui sepenuhnya tentang BT.

Konsep BT telah diperkenalkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) dan pengeluaran Garis Panduan Amanah Perniagaan (Garis Panduan BT) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada 2012.

BT pada asasnya adalah skim unit amanah yang dibentuk oleh Surat Ikatan Amanah, di mana pengendalian atau pengurusan skim dan harta atau aset skim diuruskan oleh pengurus pemegang amanah. Pemegang unit boleh mengambil bahagian dalam keuntungan atau pendapatan daripada pengurusan aset dalam BT melalui penerimaan pengagihan.

Di Malaysia, ramai keliru antara BT dengan Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) dan ramai pelabur berpandangan kedua-duanya adalah sama. Walaupun seseorang itu mungkin boleh membuat perbandingan antara struktur BT dan REIT, terdapat beberapa perbezaan yang ketara.

Perbezaan REIT dan BT

Dari segi tadbir urus, peranan pengurus REIT, pemegang amanah dan pengurus harta dalam REIT adalah berbeza dan dilaksanakan oleh entiti berasingan.

Namun dalam BT, peranan ini boleh dilaksanakan oleh pengurus pemegang amanah sahaja kerana perlindungan diberikan kepada pemegang unit seperti termaktub dalam Garis Panduan CMSA dan BT yang mengurangkan potensi konflik kepentingan.

Untuk membezakan asas aset, REIT kebanyakannya melabur dalam pelaburan hartanah. Secara amnya tiada sekatan ke atas jenis aset yang boleh disuntik dalam BT.

REIT yang tersenarai tertakluk kepada keperluan penilaian berkala, pelbagai had dan sekatan pelaburan serta had 50% pada nisbah peminjaman kepada aset, yang kesemuanya tidak terpakai kepada BT.

Dari sudut percukaian, REIT secara amnya mempunyai pengecualian cukai pendapatan jika ia mengagihkan sekurang-kurangnya 90% daripada pendapatan boleh agihnya. Namun, pengagihan itu tertakluk kepada pelbagai kadar cukai pegangan atau cukai di tangan pelabur, bergantung pada jenis pelabur.

Sementara itu, BT tertakluk kepada cukai pendapatan dengan cara yang sama seperti syarikat dan sebarang pengagihan tidak tertakluk kepada cukai.

Kita boleh katakan BT juga boleh dilihat mempunyai persamaan dengan syarikat tersenarai awam dari segi fleksibiliti pelaburan dan kewangan, serta percukaian. Jika ya, mengapa gunakan kaedah BT dan bukannya kaedah konvensional atau platform REIT? Apakah yang membezakan BT?

BT sediakan daya tarikan strategik kepada pembangun infrastruktur dan pelabur

Apa yang cuba dikatakan di sini adalah BT boleh membayar agihan kepada pemegang unit daripada aliran tunai operasinya tanpa dikekang keuntungan perakaunan. Tidak hairanlah BT sering dilihat sebagai percaturan dividen yang baik oleh pelabur.

BT amat relevan untuk perniagaan yang mempunyai aset sedia ada dan bersaiz besar yang memerlukan perbelanjaan modal pendahuluan tinggi, tetapi dalam masa sama menjana aliran tunai kukuh menerusi asetnya. Perniagaan ini kebiasaannya akan mempunyai keuntungan perakaunan lebih rendah daripada susut nilai atau caj pelunasan lebih tinggi disebabkan oleh perbelanjaan modal pendahuluan tinggi yang diperlukan untuk menjaga aset itu.

Perniagaan yang mempunyai ciri-ciri seperti ini secara amnya ialah syarikat pembangunan infrastruktur berskala besar, seperti pembangun jalan raya dan jambatan, pelabuhan dan lapangan terbang, telekomunikasi dan pusat data, utiliti seperti elektrik, air dan kumbahan serta loji kuasa.

Sementara itu, hartanah pelaburan seperti pusat beli-belah dan blok pejabat juga mempunyai keperluan modal pendahuluan yang tinggi. Namun begitu, perniagaan tersebut tidak cenderung untuk mempunyai caj susut nilai yang tinggi memandangkan penilaian semula aset hartanah yang kerap dijalankan.

Bagi perniagaan yang mempunyai projek infrastruktur besar, syarikat memerlukan cara terbaik untuk membuka nilai asetnya bagi memulakan perniagaan baharu dan pada masa sama menyediakan peluang pelaburan menarik untuk pelabur jangka panjang.

Kaedah tradisional yang bergantung pada dana awam yang mungkin tidak mampan dalam jangka panjang, lebih-lebih lagi infrastruktur baharu dan maju yang lain, kini diperlukan untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi.

Keperluan fikirkan semula pembiayaan infrastruktur

Membina infrastruktur berskala besar memerlukan kos yang tinggi dan seperti disebutkan perbelanjaan modal awalnya adalah besar. Selain itu, susulan momentum sederhana di mana modal yang dilaburkan dipulihkan, syarikat infrastruktur sering kali dibebani kadar hutang yang tinggi dan rizab tunai terhad untuk melabur dalam projek baharu.

Hari ini, tanggungjawab pencen dan hutang lain yang dihadapi oleh semua peringkat organisasi kerajaan menyebabkan tiada dana awam yang mencukupi untuk membiaya infrastruktur yang diperlukan pada masa hadapan. Walaupun kadar faedah kekal pada paras rendah, keupayaan kerajaan untuk meminjam daripada pasaran modal terhalang oleh had hutang dan penarafan kredit yang lemah.

Tindakan untuk tidak melabur dalam infrastruktur strategik juga bukanlah satu pilihan. Dalam kes ini, wang yang disimpan bukanlah wang yang diperoleh.

Lebuh raya memainkan peranan penting untuk membantu kepesatan pembandaran di Malaysia. Kesalinghubungan yang terbaik untuk rakyat dan perjalanan yang efisyen juga merupakan faktor utama ke arah memperkukuh daya saing negara dan menarik pelaburan langsung asing.

Selain itu, infrastruktur inovatif seperti solar berskala besar dan platform tenaga boleh diperbaharui diperlukan untuk memastikan penjanaan kuasa mampan yang mencukupi untuk memenuhi keperluan masa hadapan di samping mencetus ekonomi lestari yang positif. Dalam menyokong ekonomi digital, infrastruktur telekomunikasi diperlukan untuk Malaysia memanfaatkan sepenuhnya revolusi perindustrian ke-4 dan bagi memacu pekerjaan berpendapatan tinggi dalam bidang teknologi.

Memandangkan keperluan infrastruktur strategik negara mungkin terhalang ekoran kekangan pembiayaan, jelas terdapat keperluan mendesak untuk mengubah cara projek infrastruktur berimpak tinggi berskala besar dibiayai. Di sinilah BT berpotensi memacu pembinaan negara ke hadapan, dengan membuka nilai aset sedia ada untuk pembiayaan yang baharu.

Bolehkah Prolintas Infra BT membuka jalan untuk pembiayaan infrastruktur yang inovatif?

Minggu lalu, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas), yang memiliki portfolio lebuh raya bertol, mengumumkan mereka telah memutuskan untuk menubuhkan BT dengan menyenaraikan empat lebuh raya bertolnya ke dalam struktur BT berkenaan.

Tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama Bursa Securities dijadualkan pada suku pertama 2024. Jika semuanya berjalan mengikut perancangan, Prolintas Infra BT bakal mencipta sejarah dengan menjadi BT pertama yang disenaraikan di Malaysia.

Bagi syarikat seperti Prolintas, yang terlibat dalam mereka bentuk, membina, mengendalikan dan menyelenggara lebuh raya yang digunakan oleh berjuta-juta rakyat Malaysia, ia mempunyai ciri organik untuk struktur BT.

Berdasarkan ramalan kewangan 2024 seperti yang dinyatakan dalam Prospektus IPO Prolintas Infra BT, pengurus pemegang amanah bercadang untuk mengagihkan sejumlah RM70 juta kepada pemegang unitnya bersandarkan aliran tunai bersih yang dijana sebanyak RM88 juta dengan baki tunai pembukaan lebih daripada RM400 juta, meskipun hanya mempunyai RM8.3 juta dalam keuntungan perakaunan.

Jika Prolintas memilih untuk menyenaraikan empat lebuh raya brownfieldnya melalui struktur syarikat konvensional, sudah pasti dividen itu tidak dapat dikekalkan disebabkan kekangan keuntungan perakaunan.

Apabila berbicara tentang lebuh raya bertol, ketidaktentuan model BT dijangka lebih rendah berbanding REIT. Ini kerana prestasi REIT biasanya tertakluk kepada kadar yang ditentukan oleh bekalan dan permintaan. Ketika kemelesetan ekonomi, di mana bekalan mengatasi permintaan dengan kadar nilai yang menekan, pelabur mungkin berada dalam kitaran yang lebih panjang di bawah kerugian modal.

Sebaliknya, BT lebuh raya bertol dipengaruhi oleh bilangan kereta di jalan raya yang dijangka meningkat berdasarkan trend aliran. Memandangkan Prolintas Infra BT terdiri daripada lebuh raya bandar, ia boleh memanfaatkan kadar pembandaran pesat yang lebih tinggi daripada pertumbuhan penduduk negara ini.

Prolintas Infra BT juga mungkin akan mendapat manfaat daripada kenaikan kadar tol pada masa hadapan.

Meskipun Prolintas Infra BT mungkin merupakan saluran yang ideal untuk syarikat dan pelaburnya, struktur BT tidak semestinya terpakai kepada perniagaan atau projek infrastruktur ‘greenfield’ kerana ia lebih relevan untuk aset yang menghasilkan aliran tunai yang agak matang mengekalkan aliran pengagihan.

Bagi BT dibentuk dan disenaraikan, ia perlu mempunyai modal pasaran sekurang-kurangnya RM1 bilion berdasarkan harga terbitan atau tawaran. Perniagaan teras yang menjadi asas BT juga mesti sudah beroperasi dan menjana hasil untuk sekurang-kurangnya satu tahun kewangan sebelum diserahkan kepada SC.

Selain itu, projek infrastruktur mesti mempunyai kos pembangunan minimum RM500 juta.

Kriteria yang dinyatakan di atas hanyalah sebahagian daripada keperluan yang diperlukan untuk memenuhi Garis Panduan BT.

Sehubungan itu, BT mungkin mampu menyediakan saluran penjanaan dana yang sangat berdaya maju untuk pemaju infrastruktur yang merancang “mengitar semula” modal bagi aset matang menyalurkan semula ke dalam projek infrastruktur baharu. Ini akan memberi manfaat kepada negara dari segi mempercepatkan pembangunan infrastruktur kritikal, yang boleh membantu meningkatkan tahap daya saing negara di samping meningkatkan kualiti hidup untuk semua rakyat Malaysia.

Secara keseluruhannya, pelabur harus akur bahawa jenis penyenaraian, sama ada syarikat, REIT atau BT, bukanlah pertimbangan asas yang harus mendorong keputusan pelaburan mereka. Penekanan masih harus diberikan kepada objektif pelaburan syarikat, REIT atau BT serta prospek dan risiko perniagaan asasnya.

Foo Lee Khean ialah Ahli Felo Institut Akauntan Pengurusan Bertauliah, United Kingdom dan Institut Akauntan Malaysia dan pernah menjadi ahli Lembaga Pengarah beberapa syarikat tersenarai di Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN