Program Repatriasi Migram kutip RM9.48 juta nilai kompaun

Program Repatriasi Migran kutip RM9.48 juta nilai kompaun

Program Repatriasi Migran mengutip sebanyak RM9.48 juta nilai kompaun. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Program Repatriasi Migran (PRM) mengutip sebanyak RM9.48 juta nilai kompaun menerusi proses penawaran dan bayaran pas khas sejak ia dilaksanakan bermula 1 Mac lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, seramai 19,515 pendatang asing tanpa izin (PATI) mendaftar menerusi program tersebut, manakala 13,760 orang dihantar pulang ke negara asal masing-masing sehingga semalam.

“Bila kita bagi tempoh PRM sampai 31 Disember ini, PATI perlu tampilkan diri di pejabat Jabatan Imigresen untuk bayar kompaun.

“Kemudian, mereka boleh balik ke negara asal masing-masing tanpa kita teruskan di bawah kesalahan Akta Imigresen dan Akta Pasport yang mungkin membawa hukuman penjara,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, terdapat tiga kategori yang melayakkan PATI untuk mendaftar dalam program tersebut iaitu masuk atau tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah, tinggal lebih masa di Malaysia atau melanggar syarat pas.

“Kita akan terus pantau perkara ini sebab program ini kita anggap sebagai suatu inisiatif yang penting dalam menguruskan soal keberadaan PATI di negara kita,” ujarnya.

Pada 31 Januari lalu, media melaporkan Kabinet setuju untuk melaksanakan PRM bagi memberi peluang kepada PATI untuk pulang ke negara asal tanpa tindakan pendakwaan.

Saifuddin berkata, PATI yang terbabit dalam program ini yang dilaksanakan bermula 1 Mac depan hanya akan dikenakan kompaun.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kes pengabaian majikan terhadap 94 warga Bangladesh, beliau memaklumkan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sedang menyelesaikan isu membabitkan penempatan pekerjaan dan penginapan kumpulan tersebut.

“Mereka ini ada dokumen sebab itu mereka dapat masuk ke Malaysia. Cuma bila masuk sini (Malaysia), majikan tak sediakan pekerjaan dan tempat tinggal.

“Hal ini yang sedang dikendalikan KESUMA. Dari segi proses dokumentasi yang di bawah bidang kuasa kami (Kementerian Dalam Negeri) sudah selesai,” katanya.

Pada 27 Februari lepas, media melaporkan pihak berkuasa berjaya menyelamatkan 94 pekerja warga Bangladesh yang dilaporkan terabai tanpa disediakan pekerjaan dan penginapan yang kondusif oleh majikan sejak dibawa masuk ke negara ini pada November 2023 oleh sebuah syarikat pembinaan di Cheras, Selangor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN