PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperkenalkan Program Intervensi Literasi dan Numerasi bagi melatih murid Tahun 1 yang belum menguasai membaca, menulis dan mengira (3M) dengan baik.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, program berkenaan akan bermula bagi sesi akademik 2024/2025 ini.
Beliau berkata, bagi tempoh tiga bulan pertama ini, guru akan membuat saringan dan pengesanan bagi mengenal pasti tahap penguasaan setiap murid berkenaan.
“Selepas tiga bulan, murid yang dikenal pasti belum menguasi 3M akan diasingkan dan diletakkan di bawah program ini selama tiga bulan,” katanya dalam sidang akhbar khas Intervensi Kurikulum di sini, hari ini.
Katanya, pihaknya mahu melakukan intervensi awal murid berkenaan bagi memastikan mereka tidak berdepan masalah pembelajaran pada masa depan.
Fadhlina berkata, setiap murid mempunyai tahap penguasaan 3M berbeza, malah ada murid yang tidak dapat menyambung suku dan membina ayat.
“Sebab itu, kita mahu laksanakan intervensi awal sesuai dengan aras dan tahap yang dimiliki murid berkenaan,” katanya.
Katanya, program intervensi ini adalah sebahagian daripada usaha menangani isu keciciran pembelajaran selain rangka persediaan pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 yang memberi tumpuan kepada penguasaan literasi, numerasi dan pembentukan karakter.
Fadhlina berkata, program intervensi ini dibuat sebagai menghargai keprihatinan dan pandangan ibu bapa serta masyarakat terhadap kurikulum persekolahan sedia ada.
“KPM juga memandang serius terhadap kegusaran yang diutarakan seperti aras kurikulum yang tinggi dan kandungan kurikulum kurang sesuai dengan usia murid,” katanya. – UTUSAN










