PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah mengingatkan Parti Warisan (Warisan) supaya tidak terlalu yakin sehingga menolak untuk bekerjasama dengan parti politik tertentu dalam pilihan raya negeri (PRN) kelak.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Sabah, Muhammad Affan Jumahat berkata, tiada parti politik tertentu yang akan memperoleh undi majoriti dalam PRN dan Warisan masih memerlukan sokongan daripada parti-parti politik lain untuk membentuk kerajaan negeri.
Beliau juga enggan mengatakan Bersatu Sabah menolak bekerjasama dengan Warisan melainkan jika parti itu benar-benar berjuang demi rakyat Sabah.
“Parti tempatan terlalu banyak di Sabah, jadi di mana kesatuan untuk mereka membentuk kerjasama yang utuh sedangkan Warisan juga tidak mahukan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)?
“Percayalah, tidak akan ada parti mendapat undi majoriti, tidak boleh cakap parti tempatan sebagai dominan dan menang besar. Kalau betul, sudah tentu Warisan diterima rakyat. Tetapi, apa yang berlaku sekarang?
“Apapun, Warisan berhak memberi pandangan, tetapi, mereka sepatutnya mengambil kira pandangan akar umbi. Jangan buat keputusan dalam kalangan pemimpin sahaja,” katanya ketika dihubungi semalam.
Akhbar ini kelmarin melaporkan, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal enggan bekerjasama dengan Bersatu dan GRS dalam PRN Sabah akan datang.
Dakwanya, kedua-dua parti politik itu ‘mengambil’ 11 wakil rakyatnya dan menjadi punca kejatuhan kerajaan pimpinan pada 2020.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Semporna itu menyatakan kesediaan untuk Warisan bekerjasama dengan UMNO dalam PRN Sabah, walaupun pernah disingkir daripada bekas partinya itu pada 2016.
Utusan Malaysia sedang mendapatkan maklum balas daripada Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah merangkap Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berhubung perkara itu.
Dalam pada itu, kata Muhammad Affan, sekiranya Warisan mempunyai corak kepimpinan, perjuangan dan hala tuju yang jelas, ahli-ahlinya tidak akan sanggup ‘lari’ meninggalkan parti.
“Ini semua terpulang kepada pucuk pimpinan utama, kalau pembawaannya berlandaskan perjuangan yang ikhlas, penyokongnya pasti ikut. Tiada yang akan lari.
“Saya percaya, penolakan Warisan ini adalah dendam lama bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor,” katanya. –UTUSAN










