Prestasi Felda, LTAT: Laporan penuh dalam dua minggu

Prestasi Felda, LTAT: Laporan penuh dalam dua minggu

ANWAR Ibrahim bersalaman dengan orang ramai selepas hadir menunaikan solat Jumaat di Surau Amaniah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, semalam. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Felda dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) diarah menyerahkan laporan penuh berhubung prestasi lembaga itu dalam masa dua minggu susulan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022, baru-baru ini.

Ekoran itu, kerajaan akan mengambil tindakan jika dikesan wujud sebarang unsur ‘kurang baik’ dalam pengurusan kedua-dua lembaga berkenaan selepas meneliti laporan tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, notis berhubung perkara itu sudah diserahkan kepada agensi berkenaan.

“Saya minta laporan itu. Kita beri mereka (Felda dan LTAT) sekurang-kurangnya dua minggu untuk sediakan laporan penuh sebelum dipertimbang Kabinet.

“Kita bagi notis supaya ada penjelasan, keterangan penuh daripada LTAT walaupun perkara ini daripada LKAN 2022.

“Kita hendak tentukan ada laporan lengkap supaya beberapa kelemahan diperbaiki dan ada apa-apa yang terlibat, yang agak kurang baik, terpaksa kita ambil tindakan,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Amaniah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, semalam.

Ditanya sama ada perlu ada jawatankuasa khas bagi menyiasat kerugian dialami dua entiti berkenaan, Anwar berkata, beliau perlu meneliti laporan berkenaan terlebih dahulu.

“Kemudian kita beri peluang kepada kementerian dan agensi berkaitan untuk mengemukakan penjelasan.

“Apa yang penting ialah kita perlu stop the rot (hentikan pereputan), kekurangan dan kelemahan,” katanya.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) baru-baru ini mendedahkan, Felda mengalami kerugian bersih berjumlah RM1.005 bilion.

Menerusi laporan penyata kewangan Agensi Persekutuan 2022, Felda didapati mempunyai kedudukan tunai dan kesetaraan tunai yang rendah berbanding kerugian dengan nilai RM0.808 bilion berakhir 31 Disember tahun 2022.

Laporan sama mendedahkan, LTAT menghadapi rizab negatif berjumlah RM0.388 bilion pada tahun 2022.

Terdahulu, Perdana Menteri menunaikan solat Jumaat bersama lebih 100 jemaah terdiri daripada anggota dan pegawai polis serta penduduk sekitar di Surau Amaniah IPD Putrajaya di sini.

Beliau diiringi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Moktar dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Selepas menunaikan solat Jumaat, Perdana Menteri meluangkan masa menikmati jamuan tengah hari di surau berkenaan.

Dalam pada itu, LTAT dalam satu kenyataan menjelaskan, lembaga itu mempunyai rizab positif sehingga mencapai RM160 juta pada akhir Tahun Kewangan 2022 dan bukan negatif seperti LKAN.

Menurutnya, rizab gabungan lembaga tersebut terdiri daripada tiga komponen iaitu keuntungan tertahan, dana rizab dan rizab pendapatan komprehensif lain (OCI) yang secara bergabung mencerminkan kestabilan kewangan LTAT.

Rizab negatif LTAT seperti dibangkitkan LKAN hanya mewakili satu kompenen rizab iaitu rizab OCI.

“Dana rizab terus kekal tidak berubah dan ditetapkan pada kadar dua peratus daripada baki akaun pencarum lantas menyediakan asas kepada kestabilan kewangan.

“Rizab OCI pula terdiri daripada keuntungan atau kerugian terkumpul aset yang belum direalisasi dan dilabelkan mengikut piawaian perakaunan sebagai FVTOCI (Nilai Saksama Pendapatan Komprehensif Lain), mencerminkan turun naik dalam pasaran dan prestasi aset.

“Sehubungan itu, walaupun rizab OCI menunjukkan nilai defisit, baki bersih rizab gabungan pada akhir Tahun Kewangan 2022 adalah positif berjumlah RM160 juta, peningkatan berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

LTAT berkata, rizab gabungan pasca-dividen yang belum diaudit bagi Tahun Kewangan 2023 akan turut menunjukkan peningkatan, maka ia mencerminkan komitmennya terhadap perjalanan transformasi ke arah pengukuhan kedudukan kewangan.

“Kedudukan rizab bersih yang positif ini membawa kepada Nisbah Solvensi Buku melebihi 100 peratus, mengesahkan bahawa aset bersih pada nilai buku melebihi jumlah caruman pencarum.

“Ini menandakan keupayaan LTAT untuk memberi dividen kepada semua pencarum,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×