Polis bongkar, empat ‘pelancong’ Thailand bawa masuk ganja

Polis bongkar, empat ‘pelancong’ Thailand bawa masuk ganja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH: Helah dua pasangan suami isteri warga Thailand yang kononnya masuk ke negara ini sebagai pelancong dengan menaiki kereta untuk mengedar dadah ganja terbongkar selepas ditahan bersama dua lelaki tempatan dalam serbuan di sekitar Selangor, baru- baru ini. 

Dalam serbuan berasingan di Subang Jaya, Ampang Jaya dan Balakong, Kajang dekat sini, polis menahan empat warga Thailand dan dua lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 32 tahun. 

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan polis mendapati dua pasangan suami isteri tersebut masuk ke negara ini menggunakan visa pelancong dan berpura-pura ingin melancong dengan menyewa inap desa.

Katanya, suspek turut mengupah ‘transporter’ bagi membawa masuk dadah dari pintu sempadan sebelum mengedarkannya di sekitar Lembah Klang. 

Jelas beliau, semakan mendapati mereka sudah tiga kali masuk ke negara ini di mana dua kali pada tahun lepas dan sekali pada tahun ini.

“Kegiatan mereka terbongkar selepas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada pukul 2 petang kelmarin menahan sebuah kereta Ford Ranger di tepi jalan di Subang Jaya dan menahan dua lelaki tempatan.

“Hasil pemeriksaan menemui 40 ketulan mampat disyaki dadah ganja dengan anggaran berat 40.1 kilogram,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Hussein berkata, penahanan itu membawa kepada satu lagi serbuan di sebuah rumah di Ampang Jaya dekat sini dan merampas 50 ketulan mampat ganja seberat 50.3 kilogram.

“Susulan itu, polis berjaya menahan dua lelaki dan dua wanita warga Thailand yang dipercayai dalang pengedaran dadah di sebuah rumah di Balakong, Kajang serta merampas cecair ketum sebanyak 1,500 milimeter.

“Suspek pertama dan kedua bekerja sebagai buruh manakala yang lain tidak bekerja,” katanya.

Beliau berkata, semakan rekod lampau mendapati, hanya suspek pertama dan kedua mempunyai rekod dadah dan jenayah.

“Saringan awal air kencing mendapati hanya dua suspek lelaki warga asing positif amphetamine dan methamphetamine.

“Nilai rampasan dadah bagi kes ini berjumlah RM281,000 dan dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang,” katanya.

Tambahnya, tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 yang mana pihak polis turut menyita sebuah kereta Toyota Alphard bernilai RM120,000  dan enam barangan kemas bernilai RM33,000. 

“Dua lelaki yang ditahan itu juga bekerja sebagai transporter di mana pasangan suami isteri terbabit yang akan mencari pembeli untuk menjual dadah itu.

“Mereka direman seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN