PN bentang 20 resolusi

PN bentang 20 resolusi

SEBAHAGIAN pemimpin dan wakill rakyat Perikatan Nasional (PN) bergambar bersama semasa Konvensyen Wakil-Wakil Rakyat PN 2024 di Kuala Lumpur, semalam. - MINGGUAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 20 resolusi dibentangkan Perikatan Nasional (PN) sebagai jaminan tiada lagi wakil rakyat yang akan menyokong parti lawan, sekali gus menunjukkan persediaan parti itu dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyi­d­din Yassin berkata, ia adalah resolusi yang dibuat dengan mengambil kira semua panda­ngan sepanjang Konvensyen Wakil-Wakil Rakyat PN berlangsung, sambil meletakkan beberapa fokus sebagai keutamaan, termasuk sokongan daripada orang bukan Melayu.

“Kita sudah mengambil kira keputusan selepas pilihan raya negeri (PRN), data menunjukkan semua kawasan pilihan raya, kedudukan dan kekuatan.

“Kita akui sokongan ma­sya­rakat Melayu Islam adalah yang terbesar tetapi bukan Melayu masih kecil dan kita faham kenapa. Sebab itu dalam konvensyen ini, keperluan untuk bertindak adalah perlu le­bih berkesan dan kita bincang de­ngan Gerakan serta langkah untuk memperkukuh kedudukan dalam kalangan masyarakat India.

“Kita bersifat inklusif dan kita bukan parti Melayu, tetapi parti Melayu yang berteraskan Malaysia. Semua kaum keturunan jadi sasaran untuk kita perjuangkan.

“Tetapi ini perlu banyak lagi usaha yang perlu dibuat supaya mesej itu dapat disampaikan kepada seluruh bukan Melayu dalam negara,” katanya dalam sidang akhbar Konvensyen Wakil-Wakil Rakyat Perikatan Nasional 2024 di sini, semalam.

Muhyiddin berkata, fokus meningkatkan sokongan bukan Melayu itu termasuk dalam re­solusi keempat iaitu memperkasa Masyarakat Majmuk dengan Berlaku Adil dan Prihatin Kepada Semua rakyat.

Antara 20 resolusi berkenaan adalah menegakkan Perlembagaan Persekutuan, menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan, Menjunjung prinsip federa­lisme yang berpandukan kepada Perlembagaan Persekutuan, memartabatkan Islam sebagai agama Persekutuan, merancakkan pertumbuhan ekonomi Malaysia dan memberi tumpuan kepada usaha peduli rakyat bagi meringankan beban kos sara hidup.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan yang siri jelajah program ke setiap negeri akan dimulakan selepas Ramadan bagi memberi penerangan kepada rakyat Malaysia tentang isu-isu yang dibebani rakyat kini terma­suk tentang kos sara hidup dan kenaikan harga barang.

Katanya, semua pimpinan PN akan terlibat dengan jelajah tersebut termasuk pimpinan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga akan menyertainya.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan pindaan perlembagaan yang dibuat menerusi Perhimpunan Agung Khas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) baru-baru ini, Muhyiddin berkata, permohonan itu akan dihantar pada Isnin ini dan berharap Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) akan memberi kelulusan segera.

“Isnin pukul 10 pagi, saya dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin serta pimpinan tertinggi akan bawa keputusan yang dibawa dari Perhimpunan Khas yang meminda Perlembagaan, kita akan jumpa dan berharap RoS akan beri pertimbangan adil, luluskan dan dapat beri kelulusan secepat mungkin. Itu yang kita harapkan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN