KANGAR: Perlis United FC (PUFC) menafikan desas-desus menerusi laporan beberapa portal berita bahawa kelab tersebut mengambil keputusan untuk menarik diri daripada saingan Liga Super Malaysia musim ini disebabkan faktor kewangan.
Ketua Pegawai Eksekutif PUFC, Rozailmee Zulkeply berkata, beliau menafikan sebarang bentuk kenyataan menyatakan bahawa kelab itu tidak jadi bertanding dalam saingan Liga Super musim ini.
“Kami di PUFC menafikan sebarang bentuk kenyataan sebegini (mendakwa PUFC tidak jadi sertai Liga Super). Kami juga ingin tegaskan bahawa kami tidak ada sebarang permusuhan bersama Menteri Besar Perlis,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya di sini hari ini.
Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan, Perlis United didakwa memilih untuk menarik diri daripada menyertai Liga Super.
Menurut sumber dalaman kepada portal berkenaan, Perlis United dilaporkan memilih untuk melalukan pusingan-u dan menarik diri daripada menyertai Liga Super.
Menurut portal itu, mereka dilaporkan telah menghantarkan surat kepada pihak Malaysian Football League (MFL) dengan menyatakan hasrat untuk menarik diri daripada menjadi kelab Liga Super kerana faktor kewangan.
Tambah Rozailmee, laporan itu dilihat hanya ingin mensensasikan portal berita itu sahaja.
“Jika benar sila umumkan siapa sumber dalaman yang dimaksudkan,” katanya.
Dalam hantaran terbaharu di Facebooknya, Rozailmee berkata, jika Perlis United menarik diri, mereka akan membuat kenyataan rasmi.
“Buat masa sekarang, kami masih berusaha. Jika ada yang nak bantu silakan, kalau tak, mohon doakan yang baik-baik,” katanya,
Perlis United sebelum ini sudah memberi jaminan untuk sedia melaksanakan apa jua syarat tambahan yang diarahkan MFL dalam memastikan impian kelab itu dapat mengisi slot ke-14 menyertai Liga Super 2024-2025.
Malah, presidennya Shukri Othman juga mengesahkan bahawa pihaknya sudah pun menerima secara rasmi surat keputusan permohonan kelabnya untuk menyertai kancah Liga Super musim ini.
Ini termasuklah antara syarat yang dimahukan oleh MFL iaitu melunaskan gaji pemain PUFC yang direkodkan tertunggak sebelum ini.
PUFC juga diarah memenuhi syarat tambahan untuk layak menerima lesen luar biasa (extraordinary license) untuk slot ke-14 Liga Super 2024-2025.-UTUSAN










