KOTA KINABALU: Gerakan menolak kepimpinan Pengerusi (Majlis Pimpinan Negeri) Sabah, Datuk Sangkar Rasam hanya akan membawa perpecahan di dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Setiausaha MPN Sabah, Samsuddin Sidek berkata, beliau mengakui pergolakan dalaman yang berlaku mungkin disebabkan perbezaan pendapat tetapi, itu adalah perkara biasa dalam sebuah organisasi.
“Tindakan tersebut tidak memberi kelebihan kepada parti melainkan membawa kepada perpecahan kepada PKR di Sabah,” katanya semasa mengulas tentang gerakan mendesak Pengerusi MPN Sabah berundur daripada jawatan yang disandang.
Beliau berkata, biarpun ada gerakan yang cuba menjatuhkan Pengerusi MPN yang didakwa gagal memimpin PKR di Sabah namun, PKR ketika ini masih lagi kukuh di bawah pimpinan Sangkar.
Harus diingat pelantikan Sangkar selaku Pengerusi MPN dibuat mengikut saluran yang betul selaras dengan perlembagaan parti. Lantikan itu juga dipersetujui Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Semasa penstrukturan semula semua pengerusi pimpinan negeri di seluruh negara pada Februari lalu, Sangkar dikekalkan sebagai Pengerusi MPN Sabah.
“Maka, semua pihak hendaklah menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Presiden parti,” katanya.
Semalam, 15 Ketua Cabang PKR Sabah sebulat suara mendesak Sangkar Rasam meletak jawatan dan berundur secara terhormat sebagai Pengerusi MPN Sabah.
Kesemua 15 Ketua-ketua Cabang itu adalah Sazayle Donol Abdullah (Kota Marudu); Datuk Mustapha Sakmud (Kota Belud); Datuk Christina Liew (Kota Kinabalu); Peto Galim (Sepanggar); Razeef Rakimin (Tuaran), Raymond Ahuar (Pensiangan); Wendey Agong (Sipitang); Dikin Musah (Beaufort); Basran Omar (Beluran); Azmi Tambuyong (Kinabatangan); Roslee Malek (Papar); Awang Chuchu (Kimanis); Roslan Sapar (Kalabakan); Aris Remigius (Batu Api) dan Mohd. Amin Abdul Mem (Semporna).
Walau bagaimanapun, Mohd. Amin menafikan dirinya terlibat dalam gerakan menjatuhkan Pengerusi MPN Sabah.
Samsuddin berkata, dakwaan menyatakan Pengerusi MPN langsung tidak melaksanakan program di peringkat negeri adalah tidak benar kerana pelbagai program dan aktiviti telah dilaksanakan di peringkat negeri dan cabang secara berkala
Misalnya, Jelajah Mesyuarat MPN, Angkatan Muda Keadilan, Wanita dan Cabang telah dilakasanakan. Di samping itu, ada juga program-program masyarakat seperti bantuan bakul makanan, latihan berkala anjuran bersama pusat dan negeri serta sambutan perayaan yang melibatkan anggota parti dan juga masyarakat setempat.
Samsudin berkata, pada masa ini, pemimpin akar umbi PKR seharusnya memberi fokus dan tumpuan kepada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah akan datang, bertanding dan memenangi lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). –UTUSAN










