Penyelia syarikat pembersihan dituduh pukul isteri - Utusan Malaysia

Penyelia syarikat pembersihan dituduh pukul isteri

AHMAD Farhan Azmeer Harun (kanan) yang dituduh memikul isterinya dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang penyelia syarikat kebersihan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan memukul isterinya dengan penyapu, Sabtu lalu.

Tertuduh, Ahmad Farhan Azmeer Harun, 33, membuat pengakuan itu hari ini selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Tuan Nik Mohd. Tarmizie Nik Mohd. Shukri.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas isterinya yang berusia 43 tahun dengan memukul mangsa menggunakan penyapu.

Ahmad Farhan Azmeer didakwa membuat perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Kubang Tangga dekat sini kira-kira pukul 6 petang, 16 Mac lalu.

Kejadian dikatakan berpunca rasa tidak puas hati tertuduh dengan tindakan mangsa menyembunyikan beg milik suaminya itu disyaki berisi bahan terlarang sebelum berlaku pertengkaran.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama.

Seksyen 323 KK memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi Seksyen 326A KK pula, tertuduh berhadapan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum yang boleh dikenakan di atas sabitan kesalahan itu.

Sejurus merekodkan pengakuan tidak bersalah daripada tertuduh, mahkamah kemudian menetapkan 17 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Amalina Najwa Mohd. Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN