IPOH: Kerajaan Perak mengumumkan bantuan khas raya 2024 sebanyak RM1,000 kepada semua penjawat awam negeri ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bantuan khas kepada semua penjawat awam negeri Perak itu termasuklah guru lantikan negeri, Orang Besar Jajahan serta pekerja sambilan harian.
Tambahnya, buat julung kalinya juga, bantuan khas itu turut dipanjangkan kepada semua 995 ketua kampung di seluruh negeri.
“Bantuan khas ini membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM8.8 juta dan akan memanfaatkan seramai 8,804 penerima,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan dalam Majlis Berbuka Puasa Menteri Besar Bersama Penjawat Awam Negeri Perak di sini hari ini.
Pada majlis itu, sambutan hari kelahiran Saarani yang ke-63 yang jatuh pada tarikh hari ini turut diraikan bersama kira-kira 500 orang yang hadir.
Pada tahun lalu, Kerajaan Perak mengumumkan bantuan khas kewangan Aidilfitri sebanyak RM700 kepada semua penjawat awam negeri ini.
Bantuan khas itu sebagai menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam memikul tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat. – UTUSAN







