SEREMBAN: Perlu ada sistem penggredan yang jelas serta seragam di antara sekolah bagi menilai prestasi murid di sekolah rendah menggantikan tahap penguasaan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA).
Setiausaha Persatuan Pengusaha Pusat Tuisyen Negeri Sembilan, Mohd. Badrul Azhar Zulkapli berkata, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek telah berjaya menyelesaikan isu kekeliruan yang timbul berhubung kayu ukur prestasi murid apabila memutuskan sistem peratus dan gred akan digunakan bermula tahun ini.
“Melalui skor peratus dan gred ini mampu menilai prestasi dan tahap pelajar dalam sesuatu subjek dengan lebih berkesan dan telus. Namun, gred yang jelas perlu dimaklumkan dan lebih baik jika sistem persekolahan menggunakan peratus dan penggredan yang sama,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Baru-baru ini, Fadhlina berkata, pelaporan tahap penguasaan UASA bagi semua mata pelajaran murid di sekolah rendah akan ditukar dalam bentuk peratus dan gred bermula tahun ini.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas maklum balas ibu bapa, guru dan pihak berkepentingan mengenai kurikulum semasa.
Menurut beliau, sebelum ini penilaian skor setiap mata pelajaran bagi UASA dipaparkan dalam bentuk tahap penguasaan (TP) iaitu antara TP 1 hingga 6 bagaimanapun ia mencetuskan pertikaian ibu bapa.
Mohd. Badrul Azhar sementara itu berkata, penggredan sekolah rendah sehingga sekolah menengah juga dilihat perlulah seragam dan berstandard dan ia juga (penggredan) boleh diguna pakai hingga peringkat universiti.
“Alangkah baik jika diseragamkan semuanya agar pencapaian 70 peratus di kira sebagai A- untuk semua peringkat hinggalah ke institusi pengajian tinggi.
“Skor TP pula boleh dimansuhkan terus agar mengelakkan kekeliruan kembali berulang kerana sistem peratus ini sudah cukup sekali gus membantu meringankan tugas dokumentasi guru selain menjimatkan kertas yang lebih bersifat mesra alam.
“Moga peperiksaan juga dikembalikan semula untuk peringkat rendah dan menengah rendah,” katanya.-UTUSAN.











